Hapus tol: Sekadar cakap politik, sedapkan hati orang Semenyih

Iklan
Mohamad ditemui selepas program Sepetang bersama pengundi Sungai Jai di Kampung Sungai Jai hari ini. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

SEMENYIH - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan menganggap keputusan kerajaan menghapuskan kutipan tol di beberapa plaza tol hanyalah sekadar ‘cakap-cakap politik’.

Menurutnya, keputusan itu juga untuk menyedapkan hati penduduk Semenyih yang kini menanti hari mengundi bagi PRK DUN Semenyih pada 2 Mac nanti.

Iklan
Iklan

"Mereka telah minta JKR (Jabatan Kerja Rakyat) untuk buat kajian dan bentang pada bulan Mei. Belum ada terma rujukannya.

"Cuma mereka umumkan untuk sedapkan hati orang-orang di Semenyih, sekadar cakap-cakap politik,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan ke rumah penduduk di Kampung Sungai Jai, di sini, petang tadi.

Iklan

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut mempersoalkan tindakan kerajaan sanggup mengeluarkan berbilion ringgit untuk selamatkan Gamuda Berhad (Gamuda).

Menurutnya, mengapa tidak menggunakan wang tersebut untuk membantu rakyat atau meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Iklan

"Itu bukan keutamaan sekarang. Kalau nak hapuskan tol, hapuskan di seluruh negara. Mengapa hanya Gamuda?

"Kalau Gamuda, berapa banyak kita nak guna duit kerajaan? Dengan mengatakan kerajaan tiada duit, maknanya kena pinjam. Mengapa sanggup berhutang untuk ‘selamatkan’ Gamuda?” soal beliau.

Menurutnya, beliau menyokong sekiranya kerajaan meminjam berbilion ringgit untuk membantu rakyat luar bandar namun membantah sekiranya digunakan untuk ‘selamatkan’ Gamuda.

"Kalau kerajaan pinjam RM4 bilion untuk bantu rakyat, tingkatkan perkhidmatan kesihatan, saya sokong.

"Kalau pinjam untuk ‘selamatkan’ Gamuda, saya rasa itu tak betul,” ujarnya.

Semalam, kerajaan mengumumkan kadar tol bagi empat lebuh raya kendalian Gamuda akan dihapuskan sama sekali pada waktu bukan puncak antara jam 11 malam hingga 5 pagi.

Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.