JEMPOL - Seorang jurujual lelaki di Bahau mengalami kerugian RM1,000 selepas diugut seorang wanita tidak dikenali yang mahu menyebarkan video bogelnya.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hoo berkata, mangsa berusia 24 tahun telah berkenalan dengan seorang wanita yang didakwa dari negara China dikenali sebagai 'Lemon' menerusi aplikasi WhatsApp pada Isnin lalu kira-kira jam 5 petang.
Iklan
Iklan
"Mangsa kemudiannya diajak membuat panggilan video secara bogel bersama wanita berkenaan.
"Bagaimanapun, selepas selesai panggilan tersebut, wanita itu bertindak mengugut untuk menyebarkan video bogel itu di laman web sekiranya mangsa gagal memberikan wang sebanyak RM1,000," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Chang Hook berkata, mangsa seterusnya membuat pembayaran sebanyak RM1,000 menerusi aplikasi 'Razer Gold' namun suspek masih tetap meminta wang walaupun bayaran telah dibuat.
"Akibat bimbang videonya tersebar, mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada petang Selasa.
"Polis kini sedang mengesan pemilik nombor telefon serta lokasi suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana peras ugut menyebar video bogel," katanya.