KUALA TERENGGANU – Pemuda UMNO Terengganu berharap kerajaan bertegas dan memberi panduan yang lebih jelas kepada institusi perbankan berhubung pemberian moratorium supaya tuntutan rakyat dapat direalisasikan.
Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, pihaknya meneliti kenyataan Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa tiada faedah terkompaun dan penalti lewat bayar yang akan dikenakan sepanjang tempoh enam bulan moratorium.
"Namun begitu, persoalannya adakah bank akan tetap mengenakan faedah terakru (accrual interest) sepanjang tempoh tersebut seperti moratorium 1.0? Sedangkan ini adalah permintaan paling asas agar jumlah pinjaman tidak bertambah sepanjang tempoh moratorium.
"Contohnya katalah ansuran perumahan adalah sebanyak RM1,000 sebulan dengan jumlah pokok RM600 dan faedah RM400. Jika faedah masih diambil kira, maka peminjam tersebut masih perlu menanggung tambahan RM400 x 6 bulan = RM2,400 yang akan dibayar selepas moratorium tamat.
"Kebiasaannya ia akan menyebabkan ansuran bulanan meningkat,” katanya dalam satu kenyataan dalam laman Facebook beliau pada Rabu.
Tengku Haphiz berkata, apa yang dijamin oleh Menteri Kewangan setakat ini adalah tiada faedah terkompaun iaitu tiada faedah tambahan ke atas faedah asal (contoh RM2,400 tadi) yang telah tertunggak dan penalti lewat bayar.
Katanya, itu bertentangan dengan kehendak rakyat dan tuntutan Pemuda UMNO sendiri bahawa tiada caj atau tambahan tanggungan yang perlu dibebankan ke atas rakyat dengan pelaksanaan moratorium.
"Sekiranya benar keuntungan terakru masih dilaksanakan, bank bukan sahaja tidak rugi malah sebenarnya mendapat keuntungan yang lebih besar.
"Sekiranya perjanjian pinjaman adalah Islamik, maka keuntungan terakru tidak sepatutnya dikira memandangkan jumlah pinjaman adalah tetap, melainkan peminjam mengadakan akad baru dengan pihak bank,” katanya.
Bagaimanapun kata Tengku Haphiz, pihaknya bertambah curiga dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa peminjam perlu menandatangani perjanjian baharu sekiranya mahukan moratorium.
"Adakah ini bermakna ada akad baru bagi pinjaman yang 'terpaksa' dipersetujui oleh rakyat?
"Pemuda UMNO Terengganu menyeru kerajaan agar bersimpati dengan keadaan rakyat pada hari ini. Mereka tidak sepatutnya dibebankan dengan tambahan hutang yang akan merosakkan perancangan masa hadapan mereka,” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberian moratorium secara automatik selama enam bulan kepada semua peminjam sama ada daripada golongan B40, M40, T20 dan usahawan mikro.
Muhyiddin berkata, tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, semakan sama ada kehilangan pekerjaan dan dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan umum bantuan moratorium enam bulan
Moratorium: Bank dinasihat tidak kenakan caj tambahan