PERUNCIT perkakas rumah terbesar di Malaysia MR D.I.Y. Group (M) Berhad (MR D.I.Y.) bekerjasama dengan ShopeePay dan Touch n Go eWallet untuk memberikan ganjaran kepada belia yang layak menebus kredit eBelia menerusi baucar pulangan tunai dari MR D.I.Y.
Naib Presiden Pemasaran MR D.I.Y. Group, Andy Chin berkata, baucar pulangan tunai tersebut akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun mereka yang menebus kredit eBelia melalui ShopeePay dan Touch ‘n Go.
Menurutnya, pengguna ShopeePay akan menerima baucar pulangan tunai bernilai RM5 yang boleh ditebus semula di cawangan-cawangan MR D.I.Y. dan MR. DOLLAR dengan pembelian minimum sebanyak RM10.
"Pengguna e-Wallet Touch ‘n Go pula akan menerima baucar pulangan tunai bernilai RM2 yang boleh ditebus di cawangan-cawangan MR D.I.Y. dengan perbelanjaan minimum RM40.
"Semua baucar yang diberikan akan mengikut konsep siapa cepat dia dapat. Penebusan adalah terhad kepada satu baucar bagi setiap penerima eBelia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Chin berkata, kerjasama dengan ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet membolehkan belia mendapat lebih nilai daripada program eBelia yang dianjurkan oleh kerajaan sekali gus menggalakkan mereka untuk mengamalkan gaya hidup tanpa tunai.
Dalam pada itu, beliau berkata, MR D.I.Y mempunyai pelbagai rangkaian produk yang sesuai digunakan oleh pelajar dan golongan belia untuk pembelajaran termasuklah alat tulis, aksesori komputer dan aksesori telefon pintar.
"Penerima eBelia boleh menggunakan baucar tersebut untuk membeli pelbagai pilihan produk termasuk makanan dan minuman, produk penjagaan diri dan kesihatan, aksesori komputer, produk keperluan dan perlengkapan rumah serta sebagainya,” katanya.
Chin berkata, program ganjaran itu diadakan bermula 1 Jun hingga 31 Julai 2021.
Program eBelia ialah inisiatif oleh kerajaan di bawah Bajet 2021 yang dianjurkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.