PUTRAJAYA - Pertumbuhan ekonomi negara yang sihat dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2018 meningkat 4.7 peratus, sekali gus menolak kebimbangan terhadap deflasi susulan penurunan Indeks Harga Pengguna (CPI).
CPI yang merupakan kaedah digunakan untuk mengukur atau menentukan kadar inflasi telah mengalami penurunan 0.7 peratus bagi perbandingan tahun ke tahun untuk Januari 2019 iaitu kadar terendah dalam tempoh 10 tahun.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), penurunan CPI membuktikan bahawa dasar Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Katanya, ia juga kesan daripada penstabilan harga minyak melalui pengenalan harga siling yang berjaya mengembangkan ekonomi negara untuk manfaat para peniaga dan rakyat.
"Penurunan harga ini disebabkan oleh harga input yang lebih murah. Sebagai contoh, harga purata minyak petrol RON95 dalam Januari 2019 adalah kira-kira 13 peratus lebih rendah berbanding Januari 2018.
"Ini mempunyai kesan positif ke atas harga barangan dan perkhidmatan yang tidak lagi dikenakan GST. Dasar penstabilan harga minyak menyalurkan penjimatan yang diperolehi daripada harga yang lebih rendah terus kepada pengguna dan pada masa yang sama, mekanisme harga siling melindungi mereka daripada harga minyak dunia apabila ia melambung tinggi,” katanya.
Jelas MOF, penurunan harga akan meningkatkan kuasa membeli rakyat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta keadaan inflasi yang rendah telah menggalakkan perbelanjaan swasta tumbuh pesat pada kadar 9.0 peratus dan 8.5 peratus bagi tahun ke tahun masing-masing pada suku ke-3 dan ke-4 2018.
"Ekonomi negara sedang bertumbuh dengan sihat dan kerajaan mengunjurkan KDNK 2019 akan terus berkembang sebanyak 4.9 peratus setelah ia tumbuh 4.7 peratus pada tahun lepas.
"Kepastian, kejelasan dan konsistensi dasar kerajaan telah meningkatkan keyakinan peniaga, pasaran modal dan pelabur. Pertumbuhan KDNK suku ke-4 2018 sebanyak 4.7 peratus juga adalah lebih pesat berbanding jangkaan pasaran 4.5 peratus seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg,” jelasnya.
Dalam pada itu, pertumbuhan Malaysia yang lebih pesat berbanding jangkaan pasaran dan pertumbuhan ekonomi bertaraf A-/A3 telah meyakinkan agensi penarafan kredit antarabangsa untuk mengekalkan penarafan kredit Kerajaan Malaysia pada tahap tinggi A- atau A3.
"Fitch Ratings merupakan agensi terbaharu yang mengesahkan penarafan kredit Malaysia pada tahap A- dengan tinjauan yang stabil.
"Pengesahan Fitch Ratings ini bukan sahaja berdasarkan kepada pertumbuhan ekonomi yang sihat tetapi juga berdasarkan kepada ketelusan usaha kerajaan melakukan reformasi fiskal untuk memerangi korupsi dan konsolidasi fiskal yang berterusan serta imbangan akaun semasa Malaysia yang positif pada paras 2.3 peratus berbanding KDNK,” ujarnya.