KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang disyaki mencuri tabung Masjid Gelugor Haji Tahir di sini, Rabu lalu, direman empat hari bermula hari ini.
Suspek berusia 20-an itu mendapat perintah tahanan reman yang dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff
Sebelum ini, suspek yang tinggal berhampiran masjid terbabit berjaya ditangkap di rumahnya kira-kira jam 11 malam tadi apabila menyembunyikan diri selepas melakukan jenayah tersebut.
Menurut sumber, kejadian itu disedari pengerusi masjid berkenaan kira-kira jam 8 malam selepas mendapati tabung duit yang berada di ruang sembahyang muslimah terbuka.
"Curiga dengan situasi itu, dia terus membuat pemeriksaan sebelum menjumpai kesan umpil pada tabung itu.
"Pemeriksaan seterusnya mendapati duit di dalam tabung berkenaan tiada dipercayai dicuri sebelum membuat semakan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya kepada Sinar Harian.
Sumber berkata, melalui rakaman CCTV terdapat kelibat seorang lelaki dipercayai suspek memecah masuk ke dalam masjid sebelum melarikan kira-kira RM600 yang ada di dalam tabung berkenaan.
"Laporan dibuat di Balai Polis Chabang Tiga sebelum suspek ditangkap untuk disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan," katanya.