Keluarga, jiran ambil tahu, elak kibar bendera putih

Iklan
Kesusahan dialami rakyat ketika pandemik membuatkan warganet sepakat menggunakan media sosial bersolidariti membantu menerusi kempen tanda pagar #RakyatJagaRakyat dengan mengibarkan bendera putih di halaman rumah sekiranya tiada makanan atau perlukan bantuan.

IPOH - Orang ramai yang berdepan masalah ketika tempoh pandemik Covid-19 dinasihatkan supaya segera berhubung dengan individu terdekat dengan mereka berbanding mengibarkan bendera putih.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, jiran dan ahli keluarga juga boleh memainkan peranan mereka membantu golongan yang memerlukan atau disalurkan kepada pihak berkaitan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mengibarkan bendera putih bukanlah cara terbaik untuk menunjukkan keadaan kesusahan yang dialami dan meminta bantuan.

"Saya tidak berapa setuju dengan cadangan mengibarkan bendera putih ini seolah-olah menyerah kalah. Kalau ada masalah jangan naik bendera putih.

Iklan

"Kita ada jiran, guna telefon hubungi orang terdekat adik-beradik, saudara mara minta bantuan," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar secara maya di sini pada Rabu.

Saarani berkata, kerajaan negeri juga sudah turun padang menyalurkan bantuan kepada golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 ini.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Saarani menasihati orang ramai yang berdepan tekanan ketika tempoh pandemik ini supaya tidak mengambil jalan mudah dengan membunuh diri.

Menurutnya, tindakan itu tidak akan menyelesaikan masalah tetapi memberi kesan pula kepada orang di sekeliling mereka.

"Saya ingatkan kepada semua agar terus bertenang kerana ujian yang dihadapi ketika ini turut dirasai di seluruh dunia. Semua orang sedang diuji ketika ini. Tenangkan diri dan sentiasa berzikir kepada ALLAH," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Elak kibar bendera putih mohon bantuan

Kempen kibarkan bendera putih tarik perhatian warganet