Pertumbuhan PKS dijangka kembali pulih: PM

Iklan
Muhyiddin - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Prospek pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka kembali pulih perlahan-lahan pada 2021, selari dengan unjuran peningkatan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhannya, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pertumbuhan itu akan disokong oleh pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi, termasuk Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bernilai RM150 bilion yang diumumkan pada 28 Jun.

Iklan
Iklan

"Fokus Pemulih termasuklah menyokong perniagaan, dengan tujuan utama mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif cukai, menyediakan fasilitasi pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian, yang tentunya akan memberikan manfaat kepada semua PKS," kata Perdana Menteri.

Selain itu, pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021 juga dapat membantu PKS meringankan kekangan aliran tunai dan meningkatkan daya tahan perniagaan, tambahnya.

Iklan

Muhyiddin berkata demikian menerusi ucapan yang dirakam lebih awal untuk majlis pelancaran portal MyAssist MSME dan Minggu PKS Kebangsaan 2021 yang diadakan secara dalam talian pada Rabu. - Bernama

Iklan