SEMENYIH - Kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih dijalankan mengikut pengagihan tugas melibatkan semua parti komponen, seperti ditetapkan oleh pimpinan PH.
Naib Presiden Amanah Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata setakat ini semua yang terlibat hadir bertugas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan kerjasama antara parti-parti komponen PH juga boleh dilihat dengan jelas semasa siri-siri ceramah dan program mendekati rakyat sejak seminggu lalu.
"Selaku Anggota Parlimen Hulu Langat (DUN Semenyih berada dalam Parlimen Hulu Langat), saya sendiri melihat semua hadir, setiap hari kita dapat lihat pemimpin PH turun ke bawah dan berkempen bersama.
"Malah di peringkat akar umbi pun, petugas kita sentiasa bekerja untuk menghidupkan PDM bagi menunjukkan kekuatan jentera kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis kenduri di Bandar Tasik Kesuma di sini, hari ini.
Sementara itu, ketika mengulas peluang PH mempertahankan kerusi DUN Semenyih, Hasanuddin berkata PH masih popular dan yakin rakyat akan mengekalkan PH pada 2 Mac nanti.
"Rakyat sudah selesa hidup di bawah kerajaan PH, malah rekod kerja kerajaan negeri juga bagus dengan pelbagai program yang membantu rakyat, mungkin ada beberapa isu berbangkit tetapi kita yakin dapat menjawab semua itu sebelum 2 Mac,” katanya.
Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bahtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.
PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (Barisan Nasional); Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.- Bernama