SEORANG bapa dan anak lelakinya cekal mengharungi cabaran pandemik Covid-19 demi memberi khidmat di temasya Sukan Olimpik Tokyo bulan depan, dan ini mungkin yang pertama bagi arena sukan Malaysia.
Datuk Dr Gurcharan Singh, 71, dan anaknya Dr Rachvind Singh Sra, 36, masing-masing telah dilantik oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), sebagai pegawai perubatan bertugas di temasya berprestij itu.
Bagi Dr Gurcharan, Olimpik Tokyo adalah temasya keenam berturut-turut sejak berkhidmat pada edisi 2000 di Sydney manakala Dr Rachvind bakal membuat penampilan pertamanya selepas berkhidmat sebagai pegawai perubatan di tiga Kejohanan Badminton Dunia BWF (2015, 2017, 2019) dan Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires.
Setelah berkhidmat dalam lima Piala Dunia FIFA sejak edisi Korea Selatan/Jepun 2002, Dr Gurcharan atau lebih dikenali sebagai Dr Guru, semestinya layak berdiri megah dalam bidang diceburinya.
Pengalaman luas dan prestasi mengagumkan ditunjukkan beliau ketika berkhidmat bersama FIFA, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan BWF membolehkan namanya konsisten dalam senarai yang dipilih oleh organisasi berkaitan untuk menaburkan khidmat bakti dalam acara bertaraf dunia.
Ketika menjalankan tugasnya, ahli panel pengajar dalam perubatan sukan FIFA sejak 1993 itu telah berkenalan dengan bintang sukan ternama seperti mendiang Diega Maradona, Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Neymar.
Insan ini lebih memilih sisi tidak menonjolkan diri atau merasa megah dengan apa yg dikecapi, susulan itulah seandainya ramai dalam kalangan kita tidak menyedari kehadiran dan kelebihan beliau. Bernama berkesempatan bertemu beliau dan anak lelakinya di klinik Dr Guru terletak di Jalan Gombak di sini baru-baru ini.
Dr Guru, yang juga Pengerusi Suruhanjaya Doktor Kejohanan BWF yang disandangnya sejak 2002, berkata beliau sangat bersyukur kerana dapat berkhidmat dalam bidang sukan dan meraih pengalaman berharga selama ini.
Seorang pakar perunding sukan, kerjaya perubatan sukan Dr Guru bermula 38 tahun yang lepas.
Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Allahyarham Tan Sri Elyas Omar, individu yang bertanggungjawab membawanya ke dalam bidang perubatan sukan apabila Elyas yang menyandang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) melantik Dr Guru sebagai doktor skuad bola sepak pada 1983 dan sejak itu beliau tidak berpaling lagi.
Penampilan pertamanya adalah di Sukan Olimpik Sydney dalam sukan badminton, diikuti lima tugasan seterusnya dalam sukan bola sepak. Kali ini di Tokyo, Dr Guru adalah satu-satunya wakil dari Asia dalam kalangan lima pegawai perubatan yang dilantik oleh FIFA.
Tugasan utama Dr Guru adalah untuk memastikan keselamatan perubatan kesemua pemain, pegawai pasukan, delegasi FIFA, menjalankan ujian anti-doping (mengambil sampel darah dan air kencing), di samping memastikan kemudahan perubatan kecemasan menepati panduan FIFA dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
"Sudah pastinya perasaan gembira dan luar biasa bagi saya untuk berkhidmat bersama-sama anak lelaki saya dalam bidang yang sama. Sebagai rakyat Malaysia, kami sangat berbangga. Saya juga berbangga dan gembira dengan penyertaan kali ini kerana saya tidak pernah menjangkakannya ketika saya bermula dalam bidang ini 38 tahun lepas,” katanya.
Menurut Dr Guru yang pernah berkhidmat sebagai doktor tentera, walaupun tugasan di Tokyo amat menarik namun pada awalnya beliau dan anak lelakinya mempunyai keraguan untuk menerima tugasan berkenaan berikutan pandemik Covid-19.
"Namun, kami berdua sangat yakin pelbagai langkah terperinci telah diambil oleh kerajaan Jepun dalam memastikan keselamatan semua atlet dan pegawai,” katanya.
Beliau berkata, dengan berlangsungnya temasya Olimpik Tokyo di tengah-tengah pandemik Covid-19, ia semestinya menjadi satu pengalaman yang sangat berbeza kali ini.
"Pada Olimpik sebelum ini, selalunya suasana sangat meriah disebabkan adanya penyertaan orang ramai dan interaksi mereka dengan atlet. Tempat-tempat seperti perkampungan sukan mempunyai persekitaran yang menyeronokkan dengan senda gurau dan interaksi sesama atlet.
"Kita mungkin menyaksikan kurangnya suasana seperti ini kerana pelaksanaan peraturan ketat berikutan Covid-19 dengan hanya kumpulan kecil dan pergerakan terhad para atlet. Namun, kegembiraan berada di Olimpik untuk atlet dan peminat serta penyokong atlet dan pasukan kegemaran mereka adalah pengalaman sekali seumur hidup.
"Saya harap di sebalik pandemik itu, keghairahan serta kemeriahan temasya tetap dapat dirasai dengan penampilan prestasi bertaraf dunia atlet dan sokongan peminat di dalam dan luar Jepun tetap bersemarak dan kita masih dapat merasai pengalaman Sukan Olimpik Tokyo yang tidak dapat dilupakan,” katanya.
Lebih menarik pada 1990, Dr Guru pernah diiktiraf sebagai doktor pertama menyambut kelahiran bayi dalam pesawat sekali gus mencatat sejarah 80 tahun Syarikat Penerbangan Czechoslovakia (CSA), membabitkan seorang wanita Jerman pada ketinggian 30,000 kaki dari paras laut dalam ruang udara Dubai ketika penerbangan ke Prague bersama pasukan bola sepak Kuala Lumpur.
Bayi berkenaan kini membesar sebagai seorang model dan hos terkenal rancangan televisyen Indonesia Sandra Olga, yang masih berhubung dengan doktor yang sangat merendah diri itu.
Sementara itu, bagi Dr Rachvind pula, cabarannya adalah berbeza. Beliau tidak terlibat dalam kawalan doping tetapi seorang daripada pegawai perubatan bertugas di Musashino Forest Sport Plaza, Tokyo.
Acara badminton yang berlangsung serentak di lima gelanggang pada kebiasaannya, hanya Dr Rachvind dan Dr Ossowski, pakar perubatan dari Poland, akan bertanggungjawab terhadap apa-apa jua kecederaan yang dialami pemain.
"Kami perlu merawat kecederaan pemain dan membuat keputusan penting sama ada membenarkan pemain meneruskan perlawanan atau tidak. Kami juga perlu berhubung dengan pasukan perubatan tempatan dan perkhidmatan kecemasan serta hospital sekiranya ada kes.
"Kini, dengan pandemik Covid-19, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dilaksanakan. Kami perlu mematuhi dan menjadi tanggungjawab kami sebagai doktor perubatan untuk memastikan pemain, orang awam, pegawai dan penganjur mengikuti SOP," jelasnya.
Dr Rachvind, yang turut memiliki Diploma oleh FIFA dalam Perubatan Bola Sepak, menekankan bahawa sebagai pegawai perubatan, mereka perlu peka dalam setiap perlawanan.
"Kami perlu bersedia untuk berlari ke dalam gelanggang sejurus mendapat isyarat daripada pengadil perlawanan jika ada pemain cedera atau memerlukan rawatan. Kami perlu melihat pemain bukan perlawanan,” katanya.
Tambahnya, minatnya terhadap sukan bermula sejak dari dalam kandungan lagi apabila ibunya Datin Baljit Kaur, pakar perundangan sukan, seringkali menemani bapanya menonton perlawanan bola sepak dan badminton.
"Bapa adalah inspirasi dan panduan saya. Sejak saya terlibat sebagai doktor perubatan dalam tugasan antarabangsa, beliau banyak memberikan nasihat dan pandangan kepada saya. Beliau telah mencipta kejayaan dalam bidang perubatan sukan dan saya harap dapat mencontohi beliau.
"Ketika ini, saya sangat gembira dapat bergandingan di Olimpik Tokyo. Ini adalah yang pertama bagi saya dan saya berharap dapat memberikan sumbangan yang besar dalam menjayakan acara ini bersama bapa saya," tambahnya. - Bernama