Denggi: Lima kes di Taman Seri Maulana

Iklan
Zaliza dan Dr Wan Rahim melihat nyamuk aedes yang ditangkap pada program itu.

PEKAN - Lima kes demam denggi dalam tempoh dua minggu dilaporkan berlaku di kawasan perumahan di Taman Seri Mualana di sini.

Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkifli berkata, jumlah itu cukup membimbangkan, justeru semua pihak harus bekerjasama dalam membanteras gejala ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penduduk setempat perlu memainkan peranan mereka dalam mencegah pembiakan nyamuk aedes yang menjadi pembawa virus demam denggi.

"Saya difahamkan sebanyak 59 kes demam denggi berlaku di daerah ini pada tahun lalu, terutamanya membabitkan beberapa kawasan taman perumahan dan jumlah itu dianggap tinggi dan membimbangkan.

Iklan

"Jadi, bagi membendung wabak berkenaan daripada terus menular, pelbagai usaha telah dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah termasuk mengadakan gotong-royong," katanya.

Beliau berkata demikian pada program gotong-royong pencegahan demam denggi di Taman Seri Maulana, hari ini.

Iklan

Hadir sama, Pegawai Kesihatan Pekan Dr Wan Rahim Wan Mohamad.

Zaliza (kanan) dan Dr Wan Rahim (dua, kiri) memeriksa air bertakung pada program itu.

Program berkenaan mendapat kerjasama Kawasan Rukun Tertangga Taman Seri Maulana, Polis Diraja Malaysia, Majlis Daerah Pekan, Syarikat Alam Flora dan penduduk setempat.

Dalam pada itu, Zaliza berkata, penduduk setempat tidak seharusnya meletakan tanggungjawab menjaga kebersihan dibahu pihak lain sebaliknya mereka yang perlu lebih aktif dengan mengadakan gotong-royong bersama sekeluarga.

"Pastikan bekas kosong perlu buang atau pastikan tidak menakung air, sampah sarap dikawasan kediaman dibersihkan dan dibakar.

"Saya berharap wabak demam denggi yang berpunca daripada nyamuk aedes tidak terus menular di daerah ini, aktiviti pencegahan perlu dilakukan secara berterusan," katanya.

Sementara itu Dr Wan Rahim berkata, demam denggi berlaku secara bermusim setiap tahun dan kali ini wabak berkenaan bermula dikesan dua minggu lalu.

Katanya, justeru pihaknya sentiasa memberi perhatian serius terhadap demam denggi, usaha pencegahan, pengawalan, pemeriksaan dan rawatan dilakukan secara berterusan apabila terdapat kes berlaku di sesuatu kawasan.

"Setakat ini, hanya Taman Seri Maulana antara kawasan yang dikenal pasti berlakunya kes demam denggi di daerah ini dan usaha pengawalan kini dilakukan.

"Kita berharap sokongan penduduk setempat untuk menjaga kebersihan," katanya.