SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Semakan Separuh Penggal Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) memutuskan hanya 82 inisiatif akan diteruskan pelaksanaannya oleh 27 ketua agensi peneraju.
Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd Sallehuddin Hassan berkata, antara inisiatif diberikan keutamaan untuk dilaksanakan adalah mewujudkan undang-undang khusus atau peraturan keterlibatan pihak ketiga.
Menurutnya, ia bagi meningkatkan ketelusan perolehan kerajaan serta inisiatif berkaitan kajian Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.
"Semua kementerian dan agensi peneraju diingatkan supaya menyegerakan tindakan pelaksanaan inisiatif-inisiatif NACP.
"Ini supaya hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bebas rasuah melalui peningkatan governans dan integriti dapat direalisasikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, GIACC telah menerbitkan Laporan Semakan Semula Separuh Penggal NACP 2019-2023 setelah dibentangkan dan dipersetujui oleh jemaah menteri pada 19 Mei lalu.
Tambahnya, laporan itu mengandungi senarai inisiatif NACP yang ditambah baik dan disesuaikan dengan dasar dan fokus kerajaan semasa.
"Oleh kerana NACP merupakan satu dokumen merentas masa, maka penyelarasan inisiatif yang dibuat masih mengekalkan enam bidang keutamaan khusus.
"Bidang tersebut adalah tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, perolehan awam, perundangan dan kehakiman, penguatkuasaan undang-undang dan tadbir urus korporat.
"Untuk makluman naskhah asal NACP yang diterbitkan pada tahun 2019 telah menggariskan 115 inisiatif dan sebanyak 29 inisiatif selesai dilaksanakan,” katanya.
Tambah beliau, Laporan Semakan Separuh Penggal NACP boleh diakses melalui laman web GIACC di https://giacc.jpm.gov.my.