MAINS peruntuk lebih RM2 juta bantu golongan terkesan Covid-19

Iklan
Datuk Seri Aminuddin Harun

SEREMBAN - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memperuntukkan dana sebanyak RM2, 654, 948 menerusi Bantuan Zakat Khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kepada golongan sasar yang terkesan akibat Covid-19.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan itu adalah inisiatif untuk membantu golongan berkenaan dari segi keperluan asasi.

Iklan
Iklan

"Peruntukan itu diberikan kepada beberapa segmen iaitu Bantuan Khas Tunai Covid-19 sebanyak RM1,408,850 bagi individu dan keluarga yang terjejas sepanjang PKP ini terutama golongan B40, golongan yang kehilangan pekerjaan, peniaga dan penjaja kecil serta pekerja harian.

"Selain itu Bantuan Segera Asnaf Fakir dan Miskin sebanyak RM18,604, Bantuan 'Person Under Serveillance' (RM138,700).

Iklan

"Bantuan pakaian pelindung diri (PPE) petugas hadapan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (RM 47,760) serta Bantuan Petugas dan 'Frontliner' sebanyak RM70, 496," katanya pada sidang akhbar secara dalam talian selepas selesai mesyuarat Pasca Exco kerajaan negeri, pada Rabu.

Tambah Aminuddin, selain itu, terdapat Bantuan Sumbangan Makanan Bermasak bagi petugas dan 'frontliner' sebanyak RM76,580, Bantuan Organisasi bagi Persatuan Empunya Bas Sekolah (RM 21,000) dan Bantuan 1 Asnaf 1 Tablet berjumlah RM872,958," katanya.

Iklan

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga memberi peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menyalurkan bantuan tunai secara 'one-off' kepada rakyat yang terjejas akibat PKP 3.0.

"Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan boleh membuat permohonan secara online. Kaedah Permohonan adalah melalui sistem aplikasi N9 Digital atau melalui laman web https://www.n9.digital.

"Kadar bantuan adalah RM300 tunai akan dibuat secara Electronic Fund Transfer (EFT) kepada pemohon yang layak dalam tempoh 30 hari bekerja dari tarikh kelulusan permohonan," katanya.