ALOR SETAR - Penduduk yang terputus bekalan makanan di negeri ini boleh mendapatkan makanan asas yang disediakan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui program bank makanan atau Food Bank LZNK yang ditempatkan di 578 masjid.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, barangan keperluan itu boleh diambil secara percuma oleh penduduk sekitar yang terputus sumber pendapatan atau memerlukan makanan.
Menurut beliau, golongan terjejas itu boleh menghubungi pengurusan masjid secara terus bagi mendapatkan bekalan makanan berkenaan.
"Mereka tidak perlu mengisi borang kerana LZNK sudah memperuntukkan RM1 juta sebulan bagi menyediakan bantuan makanan asas itu.
"Antara barangan makanan dibekalkan di masjid adalah beras, gula, teh, kopi, telur, sardin, tepung, kicap, sos, bihun dan lain-lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Zakaria berkata, pihaknya sentiasa memantau sekiranya terdapat masjid yang memerlukan bekalan makanan untuk diagihkan kepada komuniti setempat.
"Kita akan hantar segera sekiranya bekalan kehabisan. Tiada karenah birokrasi seperti perlu isi borang untuk dapatkan makanan ini, hanya ambil sahaja," katanya.
Menurutnya, program bank makanan LZNK itu mula diperkenalkan sejak 2018 dan telah memberi banyak manfaat kepada golongan memerlukan.
"Bagaimanapun, sekiranya ada individu yang memerlukan bantuan kewangan segera atau kehilangan pendapatan akibat pandemik Covid-19, mereka juga boleh menghubungi pengurusan masjid atau amil di kawasan.
"Pada masa sama, kita sedang menaik taraf sistem sedia ada bagi memudahkan orang ramai,” katanya.
Zakaria berkata, pihaknya akan membuat semakan untuk bantuan kewangan agar tiada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan atas kemudahan bantuan yang ditawarkan.
"Individu yang berhasrat menyumbang barang makanan, boleh klik https://asnafcare.com.my/ walaupun ketika di rumah untuk berbakti.
"Kita tidak mahu melihat asnaf atau orang miskin kelaparan akibat terputus bekalan makanan,” katanya.
Program Food Bank atau Pusat Agihan Makanan Fakir dan Miskin itu diuruskan sendiri oleh pengurusan masjid dan memberi manfaat kepada lebih 208,080 keluarga asnaf di negeri itu dalam tempoh setahun.