SHAH ALAM- Pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Tambahan dibuat secara berperingkat bermula 30 Jun melibatkan peruntukan berjumlah RM2.1 bilion.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bantuan itu memanfaatkan 3.6 juta isi rumah, satu juta warga emas dan 3.8 juta individu bujang.
"Bagi penerima isi rumah, warga emas dan individu bujang, tarikh pembayaran akan dilakukan sekitar 30 Jun sehingga 2 Julai dan akan terus dikreditkan ke dalam akaun bank.
"Penerima yang tidak mempunyai akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak pula akan mendapat bayaran bermula 30 Jun melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN),” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada 31 Mei 2021, Kerajaan telah mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bagi tujuan membantu meredakan cabaran yang dihadapi terutamanya ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan menambahbaik Program BPR.
Mengulas lanjut, Zafrul berkata, pembayaran fasa satu, dua dan BPR tambahan, bantuan tunai yang disediakan adalah sebanyak RM6.78 bilion kepada hampir 8.4 juta penerima.
"Jangkaan pembayaran fasa tiga pula pada September dianggarkan berjumlah RM2.32 bilion.
"Secara keseluruhannya, peruntukan berjumlah RM9.1 bilion telah disediakan oleh kerajaan bagi pelaksanaan BPR yang telah dan akan disalurkan kepada golongan B40,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukan sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Ujarnya, kerajaan berharap agar bantuan tunai tersebut dapat meringankan beban golongan B40 terutamanya mereka yang amat terkesan akibat pelaksanaan PKP 3.0 pada kali ini.