Ramai salah faham keputusan Hafizh Syahrin jual basikal

Iklan
Hafizh Syahrin pada sidang media atas talian pada Selasa. - Foto NTS RW Racing GP

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah menyifatkan ramai pihak telah salah faham terhadap keputusannya untuk menjual basikal kesayangannya sebagaimana yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya baru-baru ini.

Menurut pelumba pasukan NTS RW Racing GP berusia 27 tahun itu, ramai yang beranggapan keputusan itu dibuat disebabkan dirinya berdepan masalah kewangan berdasarkan kepada kapsyen yang turut dimuat naik pada akaun instagram berkenaan yang memaklumkan tindakan menjual basikal itu kerana mahu terus berlumba.

Iklan
Iklan

"Mengenai jual basikal, mungkin ada yang salah faham. Basikal itu saya kurang pakai (guna). Saya jual untuk ada duit tambahan bagi bantu perjalanan saya, bukan tak ada duit untuk teruskan racing (berlumba). Cuma untuk tambah modal untuk saya teruskan (karier).

"Ada yang contact (hubungi) dan bertanyakan pasal basikal itu. Saya pun belum pasti nak jual basikal, sebab ambil masa juga,” katanya sidang media atas talian pada Rabu.

Iklan

Menerusi akaun instagram berkenaan, Hafizh Syahrin turut memaklumkan bahawa basikal jenis TT Shiv yang dibeli dengan nilai pasaran sekitar RM70,000 itu baru digunakan dan ditawarkan pada harga RM42,000.

Sebagai makluman, Hafizh Syahrin yang terkenal dengan gelaran El-Pescao dalam dunia permotoran, kini sedang menjalani proses kuarantin di Kompleks Sukan Kampung Pandan mulai 29 Jun, sekembalinya daripada Grand Prix (GP) Belanda di Litar Assen yang menyaksikannya sekadar menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-23 dengan catatan masa 39 minit 40.349 saat.

Iklan

Dalam pada itu Hafizh Syahrin berkata, dia berkemungkinan akan mengadakan pertemuan dengan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai TMJ yang menzahirkan minat untuk menajanya mengharungi Kejuaraan Motosikal Dunia.

"Mengenai perkara itu, setakat ini tak ada apa-apa. Saya pun dalam tempoh kuarantin, jadi tak boleh nak kata apa-apa.

"Mungkin dalam masa terdekat akan berjumpa dengan TMJ, tapi tak tahu, mungkin selepas kuarantin tamat,” katanya.

Sementara itu Hafizh Syahrin turut menegaskan mengenai kepentingan sistem sokongan (support system) khususnya dalam sukan permotoran sebagaimana yang pernah disuarakan oleh bekas pelumba negara yang juga pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin.

"Bagi saya sistem sokongan ini memang penting. Selain membantu memberikan sokongan, ia juga membantu memberikan motivasi kepada pelumba.

"Sistem sokongan ini agak kurang digunakan dan sudah tiba masanya untuk sistem ini mula diguna pakai bagi membantu menyemarakkan semula semangat pelumba untuk berjaya,” katanya.