Transfer bantu pulih ekonomi koperasi terjejas

Iklan

SHAH ALAM - Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (Transfer) memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi memulihkan ekonomi koperasi yang terjejas menerusi penerokaan peluang baharu.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dalam satu kenyataan berkata, itu antara tiga program di bawah Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi dalam memulih dan mempergiatkan semula aktiviti ekonomi koperasi.

Iklan
Iklan

Tambah SKM, Transfer mensasarkan koperasi terjejas khususnya dalam sektor pelancongan dan yang tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu untuk menceburi bidang perniagaan baharu, produktif serta mampu memberikan pulangan cepat.

"Objektif program ini adalah bagi membantu koperasi yang terjejas untuk meneroka peluang perniagaan baharu bagi menyedia dan meningkatkan sumber pendapatan.

Iklan

"Ia juga bagi menggalakkan koperasi untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi dan tidak tertumpu serta bergantung kepada satu sumber pendapatan.

Sasaran ditumpukan kepada koperasi yang terjejas khususnya dalam sektor pelancongan dan penjagaan diri seperti hotel, rumah inap, perkhidmatan teksi dan bas, ejen pelancongan dan lain-lain,” menurut kenyataan tersebut pada Rabu.

Iklan

Mengulas lanjut, SKM berkata, Transfer akan dilaksanakan dalam tempoh satu tahun bermula Julai 2021 hingga Julai 2022 kepada setiap koperasi yang layak untuk meneroka dan menceburi perniagaan baharu.

Tambah SKM, sebarang maklumat lanjut, boleh terus berhubung dengan ibu pejabat dan cawangan negeri atau layari portal rasmi di www.skm.gov.my