Tokyo 2020: Tiga minggu terpenting buat Mun Yee

Iklan
Mun Yee

PENERJUN negara Leong Mun Yee percaya yang beliau mampu berada pada prestasi terbaiknya dalam tempoh tiga minggu, iaitu menjelang berlangsungnya Olimpik Tokyo, bulan hadapan.

Dengan Olimpik Tokyo membuka tirainya tidak sampai tempoh sebulan lagi, atlet 36 tahun itu yakin latihan berprestasi tinggi yang dijalankan di Pusat Akuatik Kebangsaan Bukit Jalil, membuahkan hasil apabila beliau kini rasakan prestasinya lebih baik lagi berbanding sebelum ini.

Iklan
Iklan

Mun Yee akan menyertai acara terjun 10 meter (m) platform seirama wanita di Tokyo bersama pemenang pingat perak di Olimpik Rio 2016, Pandelela Rinong.

"Selepas tiga minggu ini, saya harap saya akan lebih bagus lagi... saya percaya saya akan capai tahap terbaik saya pada masa itu,” katanya dalam sidang media secara maya pada Rabu.

Iklan

Mun Yee dan Pandelela layak ke Tokyo selepas memenangi pingat perak dalam acara terjun 10m platform seirama wanita, dengan mengumpulkan 312.72 mata pada Kejohanan Terjun Dunia FINA ke-18 di Gwangju, Korea Selatan pada Julai 2019.

Dalam masa yang sama, atlet yang menyertai Sukan Olimpik buat kali keempat itu berharap untuk membawa pulang pingat, pada Olimpik yang terakhirnya di Tokyo.

Iklan

"Jurulatih saya, Li Rui juga berharap yang saya akan menang pingat bersama Pandelela,” katanya.

Atlet kelahiran Ipoh itu berkata, bukan mudah untuk layak ke Olimpik empat kali, tetapi kesabaran dan kerja kerasnya yang menyertai latihan terjun sejak berusia 10 tahun itu berbaloi dan ia telah membantunya mencapai kejayaan luar biasa.

Sementara itu, jurulatih terjun kebangsaan Li Rui berkata, kem latihan kini berjalan lancar dengan penerjunnya telahpun 80 peratus bersedia menghadapi Olimpik Tokyo, yang akan berlangsung dari 23 Julai ke 8 Ogos.

Beliau juga menjangkakan yang penerjunya akan dalam keadaan yang lebih baik dalam tempoh tiga minggu dari sekarang.

Li berkata, beliau yakin anak buahnya berpeluang untuk memenangi pingat di Tokyo berdasarkan kepada prestasi dan kekuatan terkini dalam latihan, namun beliau mengingatkan mereka berhati-hati dengan penerjun daripada negara lain, yang mungkin menjadi pencabar untuk mereka menaiki podium.

Selain Mun Yee dan Pandelela, tiga lagi penerjun yang telah layak ke Olimpik Tokyo adalah Cheong Jun Hoong (10m platform individu) serta Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee dalam acara 3m papan anjal individu.