Perbuatan bahaya bersifat halimunan

Iklan
Tangkap layar program Siri Wacana ‘Rasuah dan Generasi Muda’ menerusi aplikasi Zoom baru-baru ini.

KUALA LUMPUR - Sikap individu yang gemar mengambil kesempatan dan mencari kesenangan adalah antara sifat semula jadi yang boleh menjurus ke arah budaya rasuah.

Ahli Bersekutu Institut Polisi Awam dan Pengurusan Antarabangsa (INPUMA) Universiti Malaya, Dr Khor Swee Kheng berkata, sikap itu sudah menjadi sebati dalam diri manusia dan sukar untuk dihakis begitu sahaja.

Iklan
Iklan

"Sifat menginginkan habuan untuk diri sendiri adalah lumrah manusia yang perlu diperbaiki agar ia tidak memberi kesan yang lebih serius kepada diri.

"Penerima atau pemberi rasuah juga sering menggunakan alasan untuk melindungi diri dan keluarga sebagai justifikasi mereka melakukan perbuatan tersebut,” katanya ketika menjadi panel dalam program Siri Wacana ‘Rasuah dan Generasi Muda’ menerusi aplikasi Zoom baru-baru ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Swee Kheng berkata, sistem politik dan ekonomi yang dilaksanakan juga memberi peluang kepada budaya rasuah untuk berlaku dengan mudah di dalam negara.

Jelas beliau, tidak mudah untuk melumpuhkan sistem itu kerana ia telah digunakan sejak bertahun lamanya.

Iklan

"Sistem ini direka untuk menyenangkan rasuah. Kalau nak hapuskan rasuah, kita harus memahami sistem tersebut terlebih dahulu dan barulah ia dapat dilumpuhkan,” ujarnya.

Mengambil contoh situasi di sekolah memandu, tambah beliau, terdapat segelintir individu yang cuba menawarkan ‘duit kopi’ semata-mata untuk mendapatkan lesen.

"Kalau kita nak dapatkan lesen memandu, kita cuma beri duit kopi RM10 saja dan mungkin ada yang beranggapan ia hanyalah rasuah kecil,” jelasnya.

Dalam pada itu, Swee Kheng berkata, rasuah adalah perbuatan bahaya yang bersifat halimunan kerana ia merupakan satu bentuk penindasan dan ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat.

"Masyarakat bukan bersaing dengan kebolehan masing-masing, tetapi berapa banyak rasuah yang boleh ditawarkan untuk memberi kesenangan di kemudian hari,” katanya.