Kehidupan sosial sel manusia

Iklan
Gambar hiasan.

SEORANG saintis, biarpun kadangkala hanya mendalami suatu perkara yang tidak berkaitan langsung dengan masyarakat awam, banyak perkara tentang kajiannya boleh dijadikan contoh dalam mengendalikan kehidupan. Kita berbicara kali ini mengenai sel dalam benda hidup dan perilakunya.

Iklan
Iklan

Subunit terkecil dalam benda hidup dipanggil sel dan boleh dihidupkan di dalam makmal dengan kaedah kultur sel. Sel-sel ini akan diberi makanan yang bersesuaian dan dikawal suhu dan tekanan udaranya.

Terdapat pelbagai tujuan sel-sel ini dibiakkan dalam bekas plastik di luar tubuh manusia. Salah satunya ialah untuk menyelidik penyakit manusia, contohnya kanser atau barah.

Iklan

Bukti uji kaji mendapati bahawa untuk menghidupkan sel-sel dengan sihat, saiz bekas plastik adalah berkadar langsung dengan bilangan sel yang akan kita biakkan.

Benar, bekas yang besar akan memastikan sel tersebut mempunyai bekalan makanan yang banyak. Namun, jarak antara sel turut memainkan peranan juga.

Iklan

Apabila sel-sel tersebut berinteraksi, mereka akan mengeluarkan molekul-molekul yang menjadikan persekitaran dalam bekas plastik berkenaan bersesuaian dengan karakter dan fungsi mereka. Jadi, sel-sel itu akan tumbuh membiak dengan baik.

Secara amnya, terdapat lebih 200 jenis sel yang membentuk manusia. Sel-sel ini mempunyai karakter dan fungsi yang berbeza. Mereka perlu bekerjasama supaya fungsi setiap organ dalam badan berlangsung dengan baik. Ini kerana dalam satu organ terdapat pelbagai jenis daging atau istilah sains, tisu.

Setiap tisu itu pula terbina oleh beberapa jenis sel. Antara sel utama ialah fibroblas. Sel fibroblas ini menghasilkan matrik asas pembinaan tisu di mana sel-sel lain akan hidup. Himpunan beberapa jenis sel akan membentuk satu jenis tisu manakala himpunan beberapa jenis tisu akan menghasilkan organ.

Seperti sel, kebanyakan manusia dilahirkan dengan fitrah gembira dengan aktiviti bersosial. Ya, sebahagian besar manusia adalah ekstrovert.

Maka, apabila PKP dan norma baharu untuk menghalang penyakit berjangkit Covid-19 dilaksanakan, pastinya aktiviti sosial adalah rangkaian yang perlu dielakkan.

Kali pertama PKP diumumkan pada 2020, hampir seluruh masyarakat Malaysia pasrah. Begitu juga dengan arahan amalan norma baharu.

Bagaimanapun, semasa PKP 3.0, seperti ada penolakan. Selain daripada faktor vaksin dan kewangan, mungkin juga kerana jangkaan bahawa kehidupan sosial kembali normal pada tahun 2021 meleset.

Berbalik kepada sel, seorang manusia yang sempurna fizikalnya terbentuk dari susunan sel, tisu dan organ yang berjaya menjalankan tugas masing-masing.

Bahkan jika satu sel tidak berjaya dikawal oleh sistem sel itu sendiri, contohnya kitaran hidup, sel tersebut akan berubah sifatnya dan boleh menjadi sel kanser.

Begitu juga kita manusia. Kita hidup dalam satu masyarakat yang mempunyai sikap dan sifat dan kemahirannya yang tersendiri.

Jika kita sebagai seorang ahli masyarakat tidak berjaya melakukan tugas yang diamanahkan dengan baik, maka seluruh masyarakat akan porak-peranda. Sebolehnya kita tidak mahu menjadi ‘barah dalam masyarakat’.

Semasa satu temubual dengan seorang bekas naib canselor di sebuah universiti awam, beliau menyatakan untuk sebuah universiti maju ke hadapan, semua warga universiti itu perlu bergerak menuju ke satu arah.

Jika sebahagian mengayuh sampan ke hulu, sebahagian lagi ke hilir, maka sampan itu akan kekal berputar-putar pada satu tempat.

Saya kira, begitu jugalah dengan Malaysia. Kita perlu menyusun semula fungsi masyarakat apabila kita berjaya mengatasi pandemik Covid-19 nanti supaya sampan kita mampu belayar ke tempat tujuan.

* Profesor Madya Dr Azlina Ahmad dari Pusat Pengajian Sains Pergigian Universiti Sains Malaysia (USM)