SERDANG - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar dan melumpuhkan sindiket rokok seludup bernilai hampir RM1.9 juta dalam serbuan di Seri Kembangan, di sini, Khamis lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, hasil risikan Pasukan Gerakan Khas KDNKA, tiga lelaki berusia lingkungan 38 hingga 50 tahun ditahan di dua lokasi berasingan.
Menurutnya, kesemua suspek itu dipercayai dalam perjalanan untuk pengedaran rokok.
"Susulan itu, polis merampas 190 kotak rokok mengandungi 50 karton bagi setiap kotak, 40 kotak tembakau asli seberat 22 kilogram yang dipercayai elak bayaran cukai.
"Turut disita adalah dua buah lori dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek bergerak aktif sejak empat tahun lalu dengan menyeludup barangan itu dari negara jiran untuk dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan selatan Semenanjung Malaysia.
Katanya, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.
"Jika disabitkan salah, denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai duti kastam atau RM50,000, tidak melebihi 20 kali ganda nilai duti kastam atau RM100,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali," katanya.