BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki patah pinggang selepas terjatuh ketika cuba melarikan diri daripada polis dalam kejadian di Flat Taman Sri Janggus, Alma di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, dalam kejadian jam 1.30 petang itu, suspek berusia 26 tahun terjatuh dari tangga lalu terkena piring pemancar siaran televisyen menyebabkannya tidak dapat bangun.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika sepasukan polis terserempak dengan suspek yang sedang berjalan turun dari tangga dari tingkat satu flat tersebut.
"Suspek melarikan diri naik melalui tangga untuk ke tingkat tiga. Polis kemudian mengejarnya namun ketika tiba di tingkat tiga, suspek bertindak terjun dari ruangan tangga ke tingkat dua lalu terjatuh di atas piring pemancar menyebabkannya jatuh di atas lantai aras bawah blok.
"Kejadian itu menyebabkan suspek terbaring dalam kesakitan dan pemeriksaan mendapati, dia mengalami kesakitan di bahagian pinggang dan tidak boleh bergerak. Suspek dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan dengan menggunakan ambulans," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Katanya, pemeriksaan dijalankan menjumpai empat plastik yang mengandungi 5.30 gram methamphetamine bernilai RM530 di dalam poket seluar suspek.
"Suspek tidak bekerja dan mempunyai 14 rekod lampau melibatkan dadah dan jenayah. Ujian saringan air kencingnya mendapati negatif dadah.
"Doktor mengesahkan suspek mengalami patah pinggang dan dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.