SHAH ALAM - Kempen tanda pagar #CodeBlackMy menjadi trending di Twitter susulan hari ini detik permulaan perjuangan dan gerakan bersolidariti kepada pegawai perubatan kontrak untuk menuntut penukaran status doktor kontrak kepada jawatan tetap.
Menerusi satu poster yang tular menuntut tindakan segera daripada kerajaan untuk mencari penyelesaian komprehensif terhadap isu Hartal Doktor Kontrak yang sehingga kini masih tiada noktahnya.
Antara isu berbangkit ialah sistem doktor kontrak dan pekerja kesihatan kontrak perlu dirombak semula demi keselamatan ekosistem kesihatan negara dengan menyediakan pilihan latihan kepakaran kepada doktor kontrak.
Selain itu, kempen yang digerakkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menuntut kerajaan mewujudkan dan menyebarkan kriteria yang telus dan terperinci untuk lantikan doktor kontrak kepada perkhidmatan tetap termasuk layanan adil serta saksama ke atas semua staf kontrak juga tetap.
Sebagai tanda sokongan, MMA meminta warganet menukar gambar profil di akaun laman sosial menjadi hitam atau monokrom bermula 1 Julai hingga 12 Julai.
Sementara itu, pada 12 Julai, pihaknya meminta para doktor memakai pakaian berwarna hitam dan berkongsi gambar memegang sepanduk tertera"Kami bersama dengan pegawai perubatan kontrak" dengan tanda pagar #saveMYcontractHCW #BlackMondayMY #CodeBlackMY.
Difahamkan, code black (kod hitam) adalah kod kecemasan hospital yang menunjukkan ancaman terhadap kakitangan dan dalam hal ini ancamannya kepada pegawai perubatan kontrak.
Sekumpulan pegawai perubatan kontrak dilaporkan dalam laman sosial sebelum ini akan melakukan mogok dirancang akhir Julai ini jika kerajaan tidak menyelesaikan isu penempatan tetap mereka.
Dalam laporan media sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pengambilan graduan perubatan untuk mengikuti latihan siswazah tidak pernah dihentikan, malah diteruskan seperti biasa.
Adham berkata, sejak Disember 2016, pengambilan graduan perubatan dibuat secara kontrak berikutan kekangan perjawatan tetap dan membolehkan pengambilan dibuat tanpa bergantung pada kekosongan tetap yang terhad.
"Kontrak ditawarkan adalah hingga tiga tahun bagi membolehkan graduan perubatan menjalani latihan siswazah dan kemudiannya disambung dua tahun lagi untuk membolehkan mereka melengkapkan khidmat wajib," katanya.
Sementara itu, pengguna Twitter dikenali @azilahazri turut menyokong gerakan solidariti kepada pegawai perubatan kontrak dan diharapkan semua dipermudahkan.
Ciap @mna_bayu,"Isu ini bukan sekadar ruang lingkup staf kesihatan sahaja, malah lebih daripada itu dan akhirnya kita semua hanyalah manusia yang saling melengkapi. Ayuh bersama kami utk generasi Malaysia yang harmoni".
Begitu juga kata sokongan daripada @khaleeda_19,"Selamat pagi kepada semua rakyat Malaysia terutama sekali kepada para doktor dan semua petugas barisan hadapan. Semoga urusan kalian dipermudahkan".
Ujar @N_Burst pula,"Solidariti #CodeBlackMY, memang dah lama kami sabar. Ditabur janji manis tapi kosong. Diguna habis-habis masa Covid-19. Gred gaji tak naik, tak boleh sambung 'master'."
ARTIKEL BERKAITAN: Akaun Hartal Doktor Kontrak wujud di Facebook
Lebih 23,000 pegawai perubatan kontrak tidak diserap
'Kerajaan ada tempoh masa 26 hari cari kaedah terbaik'