9.1 juta pelanggan TNB dapat manfaat diskaun Pemulih

Iklan

SHAH ALAM – Seramai 9.1 juta pelanggan domestik dan bukan domestik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di semenanjung akan mendapat manfaat diskaun secara bersasar dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

TNB dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, pemberian diskaun antara lima hingga 40 peratus akan dinikmati 7.4 juta pengguna domestik.

Iklan
Iklan

"Diskaun sebanyak lima peratus kepada pengguna-pengguna elektrik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah kategori tarif komersial, industri dan pertanian spesifik di bawah voltan rendah akan memberi manfaat kepada 1.6 juta pelanggan TNB,” katanya.

Tambahnya, diskaun sebanyak 10 peratus kepada pengguna elektrik dalam enam sektor perniagaan terpilih di bawah inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) melibatkan 11,800 pengguna.

Iklan

"Enam sektor ini adalah pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, kompleks membeli-belah, pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan.

"Di bawah Pakej Pemulih, kesemua enam sektor ini akan terus menerima 10 peratus diskaun sehingga 31 Disember 2021 seperti yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Iklan

"Selain diskaun di bawah Pakej Pemulih, pengguna elektrik di semenanjung akan terus menikmati rebat Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak 2 sen/kWj dari bulan Julai hingga Disember 2021,” katanya.

Menurutnya, untuk kedua-dua kategori pelanggan domestik dan PKS, pengiraan diskaun bil elektrik Pemulih adalah berdasarkan jumlah penggunaan bulanan dari 1 Julai sehingga 30 September 2021.

TNB berkata, pihaknya sedang mengambil langkah yang perlu bagi memastikan pelaksanaan diskaun ini berjalan lancar.

"Sehubungan itu, pelanggan akan melihat diskaun ini tertera dalam bil elektrik mulai bil bertarikh 15 Julai 2021.

"Bagi pelanggan yang menerima bil bertarikh antara 1 hingga 14 Julai 2021, diskaun bulan Julai 2021 akan dimasukkan ke dalam bil bulan Ogos 2021,” jelasnya.

TNB menambah, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan bagi meneruskan usaha membantu rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerusi beberapa langkah.

"Pertama, tiada pemotongan bekalan elektrik kepada semua pengguna sepanjang tempoh PKP 3.0 fasa satu. Kedua, penangguhan pemotongan bekalan elektrik kepada pengguna domestik yang mempunyai tunggakan bil tidak melebihi enam bulan sehingga 30 September 2021.

"Ketiga, Pelan Bayaran Mudah untuk pengguna domestik ditawarkan sehingga 31 Disember 2021,” katanya.