GEORGETOWN - Rangkaian restoran popular di Pulau Pinang, Sri Ananda Bahwan melancarkan inisiatif membantu meningkatkan pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan menawarkan makanan percuma kepada individu yang telah melengkapkan dua dos vaksin.
Pengarah Kumpulan Sri Ananda Bahwan, Veera Harikrishnan berkata, promosi itu ditawarkan di semua 13 cawangannya, bermula 11 pagi hingga 2 petang dari 28 Jun hingga 4 Julai, kepada pelanggan yang telah melengkapkan program vaksinasi mereka, berpeluang menikmati sajian istimewa dan paling laris, Beriani Ayam secara percuma.
Beliau berkata, tawaran makanan percuma itu adalah untuk sekali sahaja.
"Sejak dua hari lalu selepas kami menjalankan promosi ini, respons daripada pelanggan sangat menggalakkan. Kami telah mengedarkan hampir 500 pek makanan percuma setakat ini dan akan meneruskan promosi ini dari semasa ke semasa.
"Kami harap promosi ini akan membantu menggalakkan dan memberi insentif kepada orang ramai untuk mendaftar vaksin Covid-19 kerana berdasarkan statistik kerajaan hanya 76 peratus rakyat Pulau Pinang telah mendaftar setakat ini. Masih ramai lagi yang belum mendaftar di MySejahtera,” katanya kepada Bernama di sini.
Veera Harikrishnan juga berharap restoran lain akan turut melakukan perkara yang sama dan menawarkan promosi sedemikian untuk membantu meningkatkan keyakinan dan menyuntik kesedaran mengenai kepentingan vaksin.
Seorang daripada pelanggan tetap restoran itu, Indran Rengasamy, 76, berkata, promosi itu adalah bagus untuk menggalakkan lebih ramai orang mendapat vaksinasi dan beliau teruja mendapat makanan percuma itu selepas selesai program vaksinasi pada 17 Mei lalu.
Walaupun respons bagi program imunisasi itu semakin mendapat sambutan sekarang berbanding pada awal pelancarannya, bagaimanapun beliau berkata, bilangan kaum India yang mendaftar untuk vaksin tidak begitu tinggi.
"Saya rasa mereka takut kerana ramai yang telah membaca banyak cerita yang menakutkan yang disebarkan dalam media sosial. Jarang ada kebenaran dalam cerita-cerita ini dan semua vaksin yang terdapat di Malaysia adalah baik untuk semua orang.
"Jika tidak kerajaan tidak akan membazirkan sumber mereka untuk memperkenalkan program ini dalam skala yang besar. Saya galakkan semua orang agar mendaftar kerana nyawa anda sekarang bergantung pada anda sendiri dan ia adalah untuk manfaat sendiri,” kata pesara yang berasal dari Bayan Baru itu. - Bernama