PUTRAJAYA - Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun mengalu-alukan kempen mengibar bendera putih bagi memberi sokongan terhadap individu terjejas akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, kempen tersebut dapat menanam serta mendidik sikap perihatin masyarakat terhadap individu lain.
"Kita kini sedang berperang dan tiada cara lain selain kita perlu bantu kita," katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya pada Khamis.
Beliau berkata, ada segelintir individu mungkin tercicir daripada 1.5 juta bantuan bakul makanan yang telah memanfaatkan enam juta isi rumah, sedangkan rakyat Malaysia adalah 32 juta orang.
"Mungkin sewaktu kita beri (bakul makanan) itu dia masih bekerja dan berkmungkinan dalam seminggu lepas itu dia diberhentikan kerja atau suami meninggal kerana Covid-19, itu kita tidak tahu," katanya.
Kempen bendera putih dimulakan warganet bagi membantu golongan memerlukan dengan mengibarkannya di halaman rumah sekiranya tiada makanan dan memerlukan bantuan.
Tanda pagar #RakyatJagaRakyat termasuk #BenderaPutih juga trending di Twitter berikutan ramai terpanggil untuk sama-sama menyebarkan kempen tersebut agar sampai kepada golongan sasaran.
Dalam pada itu, Rina berkata, kempen tersebut selari dengan inisiatif yang digerakkan kementerian.
"Minggu lepas saya telah memberi sumbangan kepada lebih 10 Gerobok Rezeki di kawasan berhampiran sebagai tanda sokongan terhadap penduduk setempat.
"Siapa ada (berkemampuan) boleh salurkan, siapa memerlukan boleh datang ambil apa yang perlu. Kita mahu rakyat bersama-sama, saling bantu-membantu supaya kita dapat keluar dari pandemik Covid-19," katanya.
Justeru, Rina berharap agar tiada pihak yang mengambil kesempatan terhadap bantuan yang dihulurkan seperti ditularkan di media sosial.
Tegasnya, sikap tersebut boleh menjejaskan peluang orang lain yang benar-benar memerlukan bantuan.
"Ambil yang kita perlu dan layak. Tidak perlu ambil bukan hak kita," katanya.