UKRAINE menerima tamparan hebat menjelang aksi berintensiti tinggi menentang England pada pusingan lapan terbaik hujung minggu ini apabila tanpa kelibat Artem Besedin yang mengalami kecederaan lutut.
Besedin sebelum ini mengalami kecederaan selepas diterjah pemain Sweden, Marcus Danielson semasa aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Hampden Park, Glasgow yang menyaksikan kemenangan dramatik 2-1 masa tambahan skuad Andriy Shevchenko tersebut.
Menurut Penolong Jurulatih Ukraine, Oleksandr Shovkovskiy, pemain berusia 25 tahun yang beraksi untuk kelab liga Ukraine, Dynamo Kiev telah dihantar pulang ke Ukraine bagi menjalani pemeriksaan selanjutnya.
"Skuad bola sepak Ukraine kini mengesahkan tampil tanpa khidmat Artem Besedin untuk baki saingan Euro 2020 selepas beliau mengalami kecederaan.
"Besedin terpaksa meninggalkan pasukan ini untuk membolehkannya kembali ke Ukraine bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut berkaitan kecederaannya," kata Shovkovskiy di laman Facebooknya.
Pemain posisi penyerang tengah itu kerap diturunkan sebagai pemain simpanan dalam tiga dari empat perlawanan bersama Ukraine sebelum ini.
Besedin menjadi antara watak penting membolehkan Ukraine lolos ke peringkat lapan terbaik dengan penampilan selama 36 minit dengan impak positif biarpun tidak menjaringkan atau memberikan bantuan gol.
Skuad kendalian Shevchenko akan meneruskan pengembaran baki Euro 2020 berkunjung ke Stadium Olimpico, Rome menentang pasukan pilihan England yang sebelum itu pasukan berprofil tinggi Jerman 2-0 dalam aksi di Stadium Wembley.