Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 300kg daun ketum

Iklan
APMM Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup keluar 300 kilogram daun ketum ke negara jiran di pesisiran pantai muara Sungai Baru, pada Rabu. - Gambar hiasan

KANGAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis menggagalkan cubaan menyeludup keluar 300 kilogram daun ketum ke negara jiran di pesisiran pantai muara Sungai Baru, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, bot penguat kuasa telah mengekori bot dinaiki dua suspek namun sebaik menyedari diekori, suspek bertindak memecut laju dengan berpatah balik menghala ke daratan dan meninggalkan bot dalam kawasan berlumpur sebelum meloloskan diri.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan, APMM menemukan enam bungkusan besar plastik hitam di bahagian belakang dan hadapan bot yang diubah suai itu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kandungan bungkusan terbabit disyaki daun ketum dengan anggaran berat 300 kilogram,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Iklan

Mohd Shafie berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk daun ketum, bot fiber berserta enjin sangkut bergalah dianggarkan berjumlah RM69,000.

"Semua hasil rampasan dan bot tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. -Bernama