PUTRAJAYA- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan peningkatan 23,000 penerima bantuan sejak Januari hingga Mei lalu.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Harun berkata, peningkatan itu berpunca akibat ekonomi dan situasi semasa Covid-19.
"Kebanyakan mereka ini terkesan dengan pandemik Covid-19 dan ia terdiri daripada pelbagai kategori," katanya.
Menurutnya, antara bantuan yang diluluskan adalah bantuan kanak-kanak daripada keluarga miskin tegar, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.
"Ada juga dalam kalangan mereka hilang punca pendapatan akibat pandemik Covid-19," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya pada Khamis.
Beliau berkata, selain bantuan yang dihulurkan oleh agensi kementerian, individu terkesan boleh menghubungi pusat khidmat wakil rakyat terdekat bagi mendapatkan Bakul Makanan.
"Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memperuntukkan RM300,000 kepada semua wakil rakyat adalah untuk membantu mereka terjejas," katanya.
Setakat ini, seramai 517,769 individu di seluruh negara merupakan penerima bantuan JKM.
Sementara itu, pada perkembangan sama, Rina berkata, pusat sokongan sosial (PSS) bergerak akan dilancarkan.
"Kita telah mengenalpasti beberapa lokasi iaitu di kawasan berkepadatan tinggi dan akan melihat bagaimana badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak kementerian bekerjasama untuk memberi sokongan kepada mereka," katanya.
Pada Selasa, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta NGO bagi membantu menangani isu sosial termasuklah tekanan mental dan emosi.