Peniaga sokong bantuan gerakan #BenderaPutih

Iklan
Antara perniagaan yang menyatakan sokongan kepada gerakan kempen kibar bendera putih #BenderaPutih dan bersedia memberi bantuan kepada masyarakat yang terkesan semasa pandemik Covid-19.

SHAH ALAM – Beberapa perniagaan menyatakan sokongan kepada gerakan kempen kibar bendera putih #BenderaPutih dan bersedia memberi bantuan kepada masyarakat yang terkesan semasa pandemik Covid-19.

Bagi tujuan itu, rangkaian pasar raya mini, 99 Speedmart memperuntukkan 1,000 pek bantuan kepada penghuni kediaman yang berada berhampiran dengan cawangan 99speedmart setiap hari bermula 1 hingga 14 Julai depan.

Iklan
Iklan

99 Speedmart menerusi satu catatan di laman Facebook rasminya berkata, pihaknya memerlukan maklumat seperti alamat dan foto rumah yang mengibarkan bendera putih untuk penghantaran bantuan dalam masa 24 jam.

"99speedmart menyahut baik kempen ini, jika anda nampak bendera putih ini digantung di mana-mana rumah atau di kawasan jiran tetangga anda sendiri, sila salurkan maklumat melalui WhatsApp 010-500 0099 atau pun Facebook 99speedmart melalui mesej peribadi (PM) sahaja,” katanya pada Rabu.

Iklan

Pada Isnin, kempen tersebut tular di media sosial sebagai tanda solidariti bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik dengan mengibarkan bendera putih di halaman rumah sekiranya tiada makanan atau perlukan bantuan.

Turut menyambut baik kempen yang diadakan itu adalah pengusaha mi segera, Vit’s yang memberitahu pihaknya akan menghantar bantuan makanan kepada 16 kawasan perumahan di Rawang, Selangor bermula pada esok dan 3 Julai ini.

Iklan

Perniagaan salun rambut, COCOdry juga menyatakan pendirian menyokong gerakan #BenderaPutih bagi meningkatkan kesederan terhadap jiran, keluarga, ibu tunggal dan anak yatim yang memerlukan barang keperluan.

"Kami menggalakkan anda untuk menghubungi kami melalui pesanan langsung (DM) jika anda, keluarga dan sesiapa sahaja yang anda kenal yang memerlukan bantuan.

"Kami akan pergi menghantar bantuan atau membuat penghantaran, tidak ada yang akan tahu #kitajagakita," kata COCOdry dalam siaran di Instagram rasmi miliknya pada Rabu.

Sementara itu, restoran Bao.Malaysia turut menyambut baik gerakan #BenderaPutih dan bersedia memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Sekiranya anda mengenali seseorang dalam situasi ini atau jika ini berlaku kepada anda, sila hubungi kami melalui Instagram (bao.malaysia) atau WhatsApp kami di 013-8013490," kata Bao.Malaysia dalam siaran di Facebooknya pada Rabu.

Dalam pada itu, Tanah Aina Café di Shah Alam akan memberi bantuan makanan percuma setiap Isnin, Rabu dan Jumaat sebagai tanda sokongan kepada gerakan berkenaan.

Tanah Aina Cafe dalam siaran di Facebooknya memaklumkan mereka boleh dihubungi melalui talian 03-5524 3258.