JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi mengisytiharkan pelaksanaan perintah Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) atau darurat di Jawa dan Bali bagi membendung penularan Covid-19 bermula 3 Julai hingga 20 Julai.
Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai bertenang dan mematuhi segala protokol, disiplin dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan kelak, lapor Liputan6.
"Saya meminta orang ramai untuk terus berdisiplin dalam mematuhi peraturan ini demi keselamatan kita semua bagi mengurangkan penularan wabak ini.
"Situasi ini menyebabkan kita perlu mengambil langkah yang lebih tegas agar kita mampu menghentikan penyebaran Covid-19," katanya pada Khamis.
Pengumuman darurat di Jawa dan Bali dilakukan berikutan peningkatan kes Covid-19 di negara itu sejak seminggu lalu.
Jokowi berkata, kerajaan akan menggunakan seluruh jentera yang ada untuk mencegah penularan wabak tersebut.
"Tentera, polis, doktor, kakitangan awam dan perubatan harus bekerja keras sebaik mungkin untuk melawan wabak ini,” katanya.
Selama pelaksanaan perintah darurat di Jawa dan Bali hanya beberapa sektor penting sahaja dibenarkan beroperasi.
Selain itu, semua golongan pekerja bukan sektor penting pula perlu bekerja dari rumah secara 100 peratus, manakala sesi persekolahan dilakukan secara dalam talian.
Semua rumah ibadat termasuk masjid juga ditutup selama dua minggu dan premis perniagaan dibenarkan beroperasi sehingga jam 8 malam, selain tidak dibenarkan makan di restoran, hanya boleh dibungkus atau untuk penghantaran.