SHAH ALAM – Gerakan Hartal Doktor Kontrak akan mengambil tindakan drastik untuk bercuti sebagai tanda protes bermula 26 Julai depan jika tuntutan berhubung penawaran pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada gagal dilaksanakan.
Gerakan Hartal Doktor Kontrak dalam satu kenyataan berkata, kerajaan diberi masa tiga minggu untuk melaksanakan tuntutan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, antara tuntutan yang dikemukan adalah menawarkan pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada serta penjelasan terperinci kriteria pelantikan tersebut.
"Kami memandang serius berhubung isu pelantikan tetap ini kerana ia berkait rapat dengan masa depan bidang perubatan negara sekali gus bakal memacu masa depan negara kelak.
"Hal ini kerana, negara ini dibangunkan dengan idea yang sangat ampuh di mana suatu hari nanti bidang perubatan negara bakal berdiri setanding dan mampu bersaing dengan negara- negara maju yang lain.
"Begitupun jika isu pelantikan tetap para pegawai perubatan ini masih menemui jalan buntu, maka tidak dinafikan kita bakal jauh ketinggalan sekali gus menjadi titik tolak kepada zaman kegelapan bagi bidang perubatan negara,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Baru-baru ini tanda pagar #HartalDoktorKontrak turut tular di aplikasi Twitter sebagai tanda sokongan terhadap nasib menimpa golongan ini.
Kempen #HartalDoktorKontrak terus diperhebatkan apabila sebuah akaun Facebook dengan nama Hartal Doktor Kontrak mula diwujudkan pada Sabtu lalu.
Mengulas lanjut kenyataan itu turut memaklumkan, sehingga kini proses perlantikan tetap masih menemui jalan buntu di mana proses pemilihan dan penjawatan masih samar-samar.
"Lebih memburukkan keadaan apabila pihak kementerian kami sendiri dilihat memandang enteng dalam membantu menyelesaikan isu ini sehingga mengakibatkan pelbagai respons negatif dari pelbagai pihak.
"Penyambungan kontrak penjawatan juga masih dilihat sebagai tiada hala tuju sebenar sekali gus menafikan hak-hak para doktor yang bertungkus lumus menggembleng tenaga ketika musim pandemik ini,” kata kenyataan itu.