Hubungi pusat khidmat wakil rakyat jika terputus makanan

Iklan
Rina Harun - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Rakyat yang terputus bekalan makanan akibat pandemik Covid-19 boleh berhubung dengan pusat khidmat wakil rakyat di kawasan masing-masing untuk memohon Bantuan Bakul Makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, wakil rakyat perlu prihatin dengan keadaan golongan yang terjejas Covid-19 di kawasan mereka.

Iklan
Iklan

"Makanan merupakan keperluan asas bagi setiap individu dan keluarga. Jadi mereka yang terputus bekalan boleh berjumpa dengan wakil rakyat masing-masing,” katanya pada sidang media khas mengenai Pemulih di kementeriannya di sini pada Khamis.

Isnin lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan RM300,000 kepada wakil rakyat kerajaan dan pembangkang untuk program Bantuan Bakul Makanan di bawah Pemulih bernilai RM150 bilion.

Iklan

Rina berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengedarkan sebanyak 1.5 juta bakul makanan sehingga kini.

"Bantuan Bakul Makanan berkenaan sudah dimanfaatkan kira-kira enam juta isi rumah. Peruntukan RM300,000 bagi bakul makanan yang disalurkan melalui wakil rakyat akan meningkatkan jumlah penerima bakul makanan selepas ini,” katanya.

Iklan

Ditanya mengenai kempen bendera putih menerusi media sosial yang menyarankan penghuni rumah terputus bekalan makanan untuk mengibarkan bendera putih bagi tanda memerlukan bantuan, Rina menyifatkan inisiatif itu dapat membantu mereka yang tercicir menerima sebarang bantuan.

Beliau berkata, setiap lapisan masyarakat perlu bersatu padu dan menanam semangat untuk saling membantu antara satu sama lain.

Katanya, inisiatif membantu golongan yang memerlukan sudah dimulakan menerusi program Gerobok Rezeki, iaitu sudut atau tempat yang menyediakan makanan asas secara percuma di masjid dan tempat awam.

Dalam pada itu, Rina berkata, sejak awal tahun ini, 23,000 nama disenaraikan sebagai penerima baharu bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). - Bernama