KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) komited dalam melaksana dan menjayakan inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat di negara ini.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, langkah itu bagi memastikan kebajikan golongan majikan, pekerja dan bekerja sendiri yang terkesan dari segi ekonomi akibat penularan Covid-19 terpelihara dengan menyalurkan bantuan kerajaan dengan segera.
Menurutnya, antara inisiatif Pemulih yang dilaksanakan Perkeso ialah Program Subsidi Upah (PSU) 4.0, Penjana, Kerjaya 3.0, insentif penempatan pekerjaan untuk Agensi Pekerjaan Swasta (APS) dan perluasan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP).
"PSU 4.0 akan dilaksanakan dalam tempoh empat bulan bermula 1 Ogos 2021, setelah permohonan untuk PSU 3.0 ditutup pada 31 Julai 2021.
"PSU 4.0 akan terus membantu golongan majikan dalam kesinambungan perniagaan dengan mengekalkan pekerja mereka ketika kebanyakan sektor ekonomi masih diarahkan ditutup.
"Dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion, PSU 4.0 akan disalurkan kepada majikan yang layak dan terhad kepada 500 pekerja bagi setiap perusahaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Bagaimanapun, beliau berkata, kadar RM600 untuk setiap pekerja dikekalkan dalam PSU 4.0 ini terbuka kepada semua sektor ekonomi untuk dua bulan pertama, manakala dua bulan seterusnya adalah khusus bagi sektor-sektor di dalam kategori senarai negatif.
"Syarat permohonan subsidi ini juga telah ditambah baik di mana tiada had gaji pekerja ditetapkan untuk PSU 4.0 berbanding had gaji RM4,000 ke bawah dalam bantuan PSU sebelum ini.
"Selain itu, majikan juga disyaratkan untuk memasukkan maklumat subsidi ke dalam slip gaji pekerja," katanya.
Pada masa sama, Mohammed Azman berkata, Perkeso positif bahawa lanjutan PSU itu akan menepati sasaran 242,000 majikan, meliputi lebih daripada 2.5 juta pekerja di seluruh negara.
"Majikan boleh membuat permohonan PSU 4.0 mulai 1 Ogos 2021 sehingga 31 Oktober 2021 dengan mengemukakan permohonan menerusi portal Prihatin di pautan https://prihatin.perkeso.gov.my.
"Soalan-soalan lazim bagi setiap inisiatif di bawah Pemulih akan dimuat naik ke laman web dan media sosial rasmi Perkeso dalam masa terdekat," jelas beliau.
Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Careline Perkeso di 1300-22-8000 atau layari laman web Perkeso di www.perkeso.gov.my.