MELAKA - [DIKEMASKINI] Seramai 23 pekerja Pos Rider Pos Malaysia mendakwa menerima notis pemberhentian perkhidmatan sebagai kakitangan Pos Malaysia dalam tempoh singkat.
Pos Rider, Abdul Malik Husin, 47, berkata, lebih mengecewakan notis yang diterima melalui emel pada 21 Jun lalu memaklumkan kontrak akan ditamatkan pada 1 Julai ketika sedang bergelut meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Abdul Malik, bukan mudah untuk menerima keputusan itu lebih-lebih lagi mengenangkan keluarga dan anak-anak yang masih belajar.
"Bagaimana kami mahu mencari kerja lain selepas menerima notis yang singkat dalam keadaan umur yang semakin meningkat.
"Lagipun sebelum menyertai keluarga Pos Malaysia kami dikenakan syarat perlu memiliki van sendiri dan saya terpaksa membeli van baharu namun baharu setahun lebih bekerja kami telah diberhentikan," katanya ketika ditemui di Ayer Keroh, di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Abdul Malik yang pernah bekerja di bahagian promosi pelancongan berkata, atas sifat kemanusiaan sepatutnya pihak berkenaan lebih bertoleransi dan bertimbang rasa dengan tidak membuang pekerja ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
Rakannya Izaddin Yunus, 47, berkata, notis ringkas itu turut membuatkan dia terkesan dan terjejas pendapatan lebih-lebih lagi lima orang anaknya masih bersekolah dan tiga baru tamat pengajian.
Menurutnya, sebelum ini dia terpaksa meminjam wang daripada saudara-mara untuk membeli van namun baru setahun bekerja sudah menerima surat pemberhentian.
"Kita keluarkan modal untuk semua kos penyenggaraan dan kerana tawaran menarik bekerja di Pos Malaysia menyebabkan saya sanggup meninggalkan jualan buah-buahan sebelum ini.
"Tapi malangnya ini yang saya dan rakan-rakan dapat selepas setahun bekerja," katanya.
Izaddin berharap Pos Malaysia mengambil kira semua aspek termasuk kesetiaan ditunjukkan selama ini selain tidak menimbulkan sebarang masalah yang boleh mencalarkan imej Pos Malaysia.