Penduduk terdesak, bendera putih dikibarkan

Iklan
Zaidi memasang bendera putih di hadapan rumahnya di Kampung Banggol, Gelang Mas sambil diperhatikan oleh isteri, anak-anak dan cucu-cucunya.

PASIR MAS - Suami tidak dapat bekerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara alasan yang diberikan oleh penduduk yang terpaksa mengibarkan bendera putih memohon bantuan di Gelang Mas di sini.

Salmizan Yusof, 36, berkata, semenjak awal tahun ini, suaminya, Faisal Sanpriton, 35, yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai tidak dapat keluar mencari rezeki susulan premis itu tidak dapat beroperasi susulan PKP.

Iklan
Iklan

"Malah kedai tersebut juga hampir ditutup sepenuhnya, sehinggakan kami terpaksa mencari ikhtiar lain untuk meneruskan hidup.

"Suami dan saya cuba berniaga burger dan minuman di hadapan rumah, namun tetap sukar dengan keadaan PKP sekarang," katanya.

Iklan

Menurutnya, dalam sehari mereka hanya mampu mendapat keuntungan sekitar RM20 hingga RM30 sehari sahaja, itu pun tidak menentu.

Katanya, disebabkan itu, bayaran rumah sewa tertunggak hampir tiga bulan, malah beras yang ada di dapur hanya mampu bertahan selama tiga hari sahaja.

Salmizan bersama anak lelaki dan kembarnya di hadapan rumah sewa mereka di Kampung Gelang Mas, Pasir Mas mengibarkan bendera putih.

Iklan

Salmizan berkata, lebih menyedihkan lagi apabila dia tidak mampu membeli lampin pakai buang dan susu kepada anak kembarnya yang berusia sembilan bulan serta hanya menyediakan nasi berlaukkan telur kepada anak lelaki sulungnya berusia 13 tahun.

Katanya, disebabkan itu dia dan suami nekad menaikkan bendera putih di hadapan rumah sewa mereka walaupun hakikatnya mereka malu berbuat demikian.

Sementara itu, Zaidi Dollah, 56, yang bekerja sebagai tukang rumah ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol, Gelang Mas berkata, bendera putih yang dinaikkan di hadapan rumahnya merupakan ikhtiar terakhir.

"Di rumah ini saya tinggal bersama isteri serta 10 anak dan empat cucu serta seorang menantu.

"Tujuh daripada anak saya adalah orang kurang upaya (OKU), dan yang bekerja menyara keluarga hanyalah saya serta dua anak lelaki," katanya.

Menurutnya, mereka bekerja sebagai tukang rumah dan disebabkan PKP, peluang pekerjaan tiada sehingga memaksa mereka hanya banyak meluangkan masa di rumah.

Katanya, pernah beberapa kali dia cuba meminjam beras serta duit daripada jiran serta saudara-mara untuk kelangsungan hidup.

Zaidi berkata, lebih menyedihkan apabila menantu, Muhamad Afendi Dollah, 49, yang bekerja sebagai pembantu kedai di Johor hilang pekerjaan dan memaksa dia serta isteri, anak-anak pulang ke kampung dan tinggal bersamanya.