ALOR SETAR - Kempen mengibarkan bendera putih yang dicetuskan warganet adalah isyarat yang perlu diambil serius oleh kerajaan.
Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia adalah suara rakyat yang mahu kerajaan bertindak segera atas kesulitan yang mereka alami sejak pandemik Covid-19 bermula.
Menurut beliau, kempen berkenaan tidak wajar dipolemikkan mana-mana pihak termasuk mempersoal kewajaran rakyat bertindak demikian.
"Itu adalah mesej daripada rakyat kepada kerajaan dan wakil rakyat untuk beritahu kesusahan yang mereka alami, sepatutnya bertindak segera bukan persoal sama ada sesuai atau tidak.
"Ia petanda jelas bahawa rakyat benar-benar terdesak untuk menarik perhatian selain buntu untuk mencari pertolongan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mohd Azmi berkata, kerajaan harus memahami mesej sebenar rakyat itu dan berlapang dada dengan memberi maklum balas bersesuaian agar tekanan rakyat dapat dikurangkan.
"Kita tahu kebanyakan rakyat sekarang dalam kesusahan akibat terputus sumber kewangan, hilang kerja atau tiada bekalan makanan terutama golongan B40 dan miskin.
"Ia dikaitkan pula dengan peningkatan kes bunuh diri yang diibaratkan umpama bom jangka. Kalau kerajaan tidak ambil serius semua isyarat ini, bimbang keadaan semakin serius,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan tidak perlu menunggu sehingga bendera putih dikibarkan untuk salurkan bantuan, wakil rakyat harus memainkan peranan lebih berkesan pada ketika ini dengan mengagihkan bantuan secukupnya.
"Ia menandakan situasi kritikal. Kalau ada pemimpin mengatakan kaedah itu tidak sesuai, saya berasakan perlunya rakyat untuk beri isyarat kepada wakil rakyat yang sepatutnya bergerak di kawasan masing-masing untuk kesan keluarga yang perlukan bantuan.
"Ini antara isyarat supaya pemimpin melipat gandakan usaha bantu rakyat, bukan sekadar hantar bakul makanan sebaliknya ambil tahu masalah dan bawa suara rakyat ke peringkat lebih tinggi untuk tindakan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Azmi berharap kerajaan memperhalusi suara kebangkitan rakyat yang diluahkan secara kreatif ini tanpa dibayangi elemen politik kerana ia hanya akan membangkitkan lagi kemarahan rakyat.
"Rakyat mengadu bantuan tidak menyeluruh, ada bantuan yang diuar-uarkan ‘indah khabar dari rupa’. Tahap ini membimbangkan kerana ramai cari jalan singkat untuk selesaikan masalah. Sistem pentadbiran sedia ada tidak berfungsi seperti diharapkan. Bila bendera putih dinaikkan, baru kalut,” katanya.
Kempen yang dipercayai bermula sejak Isnin, #BenderaPutih trending di Twitter dan semua platform media sosial bersolidariti untuk membantu golongan memerlukan dengan mengibarkan bendera putih di halaman rumah sekiranya tiada makanan atau perlukan bantuan.
Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)