Hanya makan bubur, mi segera sebelum kibar bendera putih

Iklan
Azhar (kanan) menerima bekalan makanan daripada Foong Hin di Taman Public, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Sembilan ahli keluarga di sebuah rumah di Taman Public di sini mengakui terpaksa menjamah bubur dan mi segera sejak enam hari lalu sebelum mengambil tindakan mengibarkan bendera putih selepas bekalan makanan mereka terputus pada Khamis.

Bendera yang dikibarkan itu akhirnya mendapat perhatian Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin yang datang menghantar pelbagai barangan makanan kepada keluarga berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut Azhar Mustafa, 22, mereka terputus bekalan makanan selepas tidak dapat keluar bekerja disebabkan perlu menjalani kuarantin.

"Rata-rata kami menerima gaji hari, jika turun kerja adalah wang dan dapatlah beli barang makanan atau keperluan rumah.

Iklan

"Tetapi kami tidak dapat keluar bekerja sejak dikenakan kuarantin selepas sembilan daripada ahli keluarga didapati positif Covid-19 dan terpaksa menerima rawatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Azhar berkata, sepanjang tempoh itu mereka hanya bergantung dengan lauk telur ayam dan mi segera yang diberikan rakan serta sedikit beras untuk siang dan malam.

Iklan

"Pagi kami hanya makan bubur selain mi segera. Manakala kanak-kanak termasuk seorang bayi berusia 11 bulan juga terputus bekalan susu serta keperluan lain.

"Jadi pagi tadi kami pasang bendera putih selepas ia tular di media sosial dan akhirnya mendapat perhatian wakil rakyat di sini," katanya yang bekerja sebagai buruh kasar di Penampang.

Sementara itu, Foong Hin memaklumkan bendera putih itu yang pertama berkibar di Taman Public, Kota Kinabalu adalah kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Jumaat.

"Saya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tan Lee Fat mengagihkan sedikit bantuan makanan kepada keluarga berkenaan.

"DAP juga akan berusaha untuk menghantar bakul makanan melalui Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk kawasan yang akan dikenakan PKPD esok (Jumaat)," katanya.