5 kanak-kanak positif difteria di Johor

Iklan
Sahruddin ketika sidang media.

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Johor telah melakukan pemantauan di kawasan disyaki mempunyai kuman difteria susulan kes kematian seorang kanak-kanak berusia 2 tahun dipercayai akibat penyakit itu, Khamis lalu

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr Sahruddin Jamal berkata, setakat ini seramai 52 individu atau 'contact' yang berada di sekeliling kanak-kanak yang maut disyaki akibat jangkitan itu.

Iklan
Iklan

"Daripada 52 itu, kita dapati lima orang positif yang kesemua kanak-kanak dan kita sudah masukkan ke wad semalam. Kita isolasikan wad itu.

"Setelah pemberian ubat-ubatan, Insya-ALLAH tiga pesakit akan dibenarkan pulang. Kalau tidak ada simptom," katanya selepas melawat lima kanak-kanak terbabit di Hospital Sultanah Aminah di sini, hari ini.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Johor, Dr Selahuddeen Abd Aziz.

Menurutnya, lima kanak-kanak terbabit tinggal di tempat yang sama dengan kanak-kanak 2 tahun yang maut terbabit.

Iklan

"Penyakit ini ia menyebar melalui air liur, peluh. Ia berada di dalam kawasan perumahan itu. Kita 'scan' (kanak-kanak) yang ada dekat dalam (wad) itu, lepas itu siapa pelawat dia.

"Termasuklah klinik yang dia pernah mendapat rawatan. Total 52 (orang). Maknanya staf hospital, klinik swasta yang dia pernah mendapat rawatan dan semua orang-orang yang ada kontak di taska itu," katanya.

Sahruddin berkata, semua kanak-kanak yang positif difteria itu berusia di bawah 4 tahun terdiri daripada tiga perempuan dan dua lelaki.

"Empat (kanak-kanak) diimunisasi. Satu tidak. Maknanya kakak kepada si mati tidak diimunisasi. Kakak dia 4 tahun. Bagaimanapun, semua berada dalam keadaan stabil.

"Cuma kita nak pastikan bahawa kanak-kanak itu tidak berjangkit kepada orang lain," katanya.

Menurutnya, semua pesakit tinggal di satu kawasan yang sama setakat ini dan dipercayai tidak merebak kepada individu lain.

Dalam pada itu, Sahruddin berkata, imunisasi vaksin adalah sangat perlu dan ibu bapa diminta untuk memastikan anak masing-masing diberi imunisasi.