Selangor, KL kena PKPD selama 14 hari

Iklan
Ismail Sabri

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikenakan di mukim-mukim di Selangor dan beberapa lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula 3 Julai sehingga 16 Julai 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat pembentangan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai situasi Covid-19 di dua negeri tersebut.

Iklan
Iklan

"Kedua-dua negeri ini menunjukkan trend jangkitan yang tinggi. Selangor melaporkan purata kes harian Covid-19 antara 1,800 ke 1,900.

"Di Kuala Lumpur pula purata kes harian adalah dalam lingkungan 600 ke 1,000 kes. Kesemua daerah di Selangor dan Kuala Lumpur melaporkan insiden kes Covid-19 melebihi 12.1 per 100,000 penduduk," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Ismail Sabri berkata, data unjuran kadar nilai kebolehjangkitan (R-naught) di kedua-dua negeri tersebut masih dalam lingkungan 1.0 dan tidak menunjukkan trend penurunan.

"Situasi ini adalah membimbangkan apabila mengambil kira kepadatan penduduk dan penularan tiga varian baharu yang lebih ganas iaitu varian Beta B.1.351 (Afrika Selatan), Delta B.1.617.2 (India) dan Alpha B.1.1.7 (UK)," ujarnya.

Iklan

Menurut beliau, lapan daerah di Selangor dikenakan PKPD melibatkan Petaling, Hulu Langat, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Di Kuala Lumpur, lokaliti yang dikenakan PKPD melibatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Flat Seksyen 2 Wangsa Maju, Flat Seksyen 1 Wangsa Maju dan Kampung Padang Balang.

"Selain itu, turut dikenakan PKPD adalah di Taman Koperasi Polis (Fasa 1 dan 2), Flat Sri Sabah Kampung Puah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Flat Desa Pandan (termasuk Baiduri dan Delima), Kampung Batu Muda, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Bandar Baru Sentul dan Taman Ikan Emas,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Semua penduduk di dalam kawasan PKPD tidak dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing kecuali seorang sahaja wakil isi rumah keluar hanya untuk membeli keperluan asas di kawasan PKPD dalam radius 10 kilometer dari kediaman,” ujarnya.

Sementara itu, hanya sektor perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam seperti utiliti, pembersihan dan kumbahan, manakala hanya kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih, gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan, dan pelitup muka dibenarkan beroperasi.

Kebenaran untuk bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu atau menjalankan tugas rasmi kerajaan dengan surat pengesahan daripada majikan atau pas pekerja yang sah.

"Pekerja selain daripada perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh tersebut. Majikan dikehendaki mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja-pekerja bekerja dari rumah,” ujarnya.

Jelasnya, lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi seperti biasa manakala aktiviti dan perkhidmatan pengangkutan awam (kereta api, komuter, bas, lapangan terbang, teksi, feri, e-hailing) dibenarkan beroperasi seperti biasa dengan kapasiti 50 peratus.

"Selain itu, bilangan penumpang dalam teksi dan e-hailing dihadkan dua orang sahaja termasuk pemandu,” katanya.

Pada masa sama, restoran, kedai atau gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera atau pusat penjaja, gerai makan tepi jalan dan kios dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam.

"Pembelian makanan secara bawa pulang (take away), pandu lalu (drive-thru) atau penghantaran (delivery) sahaja dibenarkan.

"Kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam,” ujarnya.

Menurutnya, hospital, klinik dan makmal perubatan dibenarkan beroperasi sehingga 24 jam atau mengikut lesen kebenaran.

"Kedai farmasi, kedai penjualan ubat-ubatan, klinik haiwan dan kedai makanan haiwan dibenarkan beroperasi antara 8 pagi hingga 8 malam.

"Stesen minyak dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 8 malam kecuali stesen minyak di lebuh raya bertol beroperasi sehingga 24 jam.

"Pasar borong dibenarkan beroperasi bermula 12 malam hingga 6 pagi manakala pasar awam, Pasar Tani Kekal (PTK) dan MyFarm Outlet (MFO) dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi hingga 2 petang.

"Seterusnya, sebarang aktiviti sukan, sosial, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan,” katanya.