Lelaki warga China cedera ditikam rakan mabuk

Iklan
Suspek berjaya ditahan polis dan direman selama 14 hari bermula Khamis.

ISKANDAR PUTERI- Gara-gara mabuk hingga membawa kepada pertengkaran, seorang lelaki warga China cedera ditikam dengan pisau oleh rakan serumahnya dalam kejadian di Forest City dekat Tanjung Kupang, pada Khamis.

Akibat tikaman itu, lelaki berusia 34 tahun yang juga seorang penganggur, cedera di bahagian bahu dan lengan sebelah kiri.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian berkenaan pada jam 6.50 pagi, sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kita telah menahan suspek yang juga lelaki warganegara China berusia 36 tahun di lokasi yang sama, selain merampas sebilah pisau pemotong daging berukuran 23 sentimeter.

Iklan

"Hasil siasatan awal yang dijalankan, mangsa dan suspek merupakan rakan serumah.

"Sebelum kejadian, mangsa dan suspek berada di ruang tamu sambil minum minuman keras sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka.

Iklan

"Suspek kemudian bertindak mengambil pisau pemotong daging di dapur dan terus menikam mangsa di bahagian bahu dan lengan kiri mangsa," katanya.

Jelas Dzulkhairi, mangsa berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Sultanah Aminah, di sini.

Suspek kini direman selama 14 hari bermula Khamis dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.