PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Pengusaha kedai gunting dan dandanan rambut di bawah Gabungan Pendandan Rambut Malaysia telah mendesak kerajaan untuk membenarkan mereka beroperasi secepat mungkin selepas perniagaan mereka terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19.
Presiden Persatuan Pendandan Rambut Malaysia (MHA) dan Persatuan Pendandan Rambut Bersatu Asia (UAHA) Michael Poh menjelaskan, banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti salun rambut dan kedai gunting benar-benar tidak dapat menghadapi situasi sukar ketika ini dan mungkin tidak dapat dikekalkan lagi.
"Kami gembira kerana sektor dandanan rambut dan kedai gunting tersenarai dalam Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN), tetapi kami tidak tahu bilakah fasa ini akan dibenarkan,” katanya dalam sidang media secara maya mengenai kelangsungan hidup bagi industri dandanan rambut pada Khamis.
Poh berkata, industri itu kini menguncup dan purata 74,500 pemain industri menghadapi halangan untuk membayar sewa kedai, gaji pekerja dan pinjaman peribadi.
Menegaskan tiada kluster yang disumbangkan daripada sektor dandanan rambut, beliau berkata, mereka telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, malah menambah lebih banyak langkah berjaga-jaga dilakukan untuk meminimumkan risiko penularan antaranya mensanitasi pelanggan dari bahagian atas ke kaki sebelum mereka memasuki salun.
"Kerajaan harus membenarkan industri bebas kluster beroperasi seperti biasa dengan pematuhan SOP yang ketat untuk menyelamatkan semua perniagaan kecil dan PKS yang hampir mati ini," katanya.
Sementara itu, Pengarah APT Salun Yeevon Teh menjelaskan, industri dandanan rambut telah mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM2.25 bilion sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 tahun lepas.
"Ini telah menjejaskan mata pencarian, tekanan yang membawa kepada kemurungan dan generasi muda enggan menyertai industri dandanan rambut,” katanya sambil menambah pembuat dasar dan kerajaan harus tampil dengan penyelesaian yang lebih baik untuk membantu industri.
Gabungan Pendandan Rambut Malaysia terdiri daripada lapan persatuan utama pendandan rambut dan tukang gunting yang termasuk MHA, UAHA, Persatuan Pendandan Rambut Bumiputera (BUHA), Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera (MBBA), Persatuan Pembangunan Kemahiran Dandanan Rambut (HSDA), Persatuan Pemerkasaan Jurugaya Rambut India Malaysia (MIHASS), Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia (MINDAS) serta Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor dan Wilayah Persekutuan (PJRISWP). -Bernama