SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan ujian saringan secara bersasar ke atas semua penduduk di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Sabtu ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Penyelaras Program Vaksinasi Kebangsaan juga memberi jaminan bahawa program pemberian vaksin akan dipertingkat dan dipergiatkan di kawasan-kawasan yang terlibat.
Iklan
Iklan
"Oleh yang demikian, pergerakan merentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal dibenarkan dengan menunjukkan butiran janji temu di aplikasi MySejahtera, laman sesawang atau SMS," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, penduduk dalam kawasan PKPD tidak dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing.
Katanya, hanya seorang wakil isi rumah dibenarkan keluar untuk membeli keperluan asas di kawasan PKPD dalam radius 10 kilometer dari kediaman.
ARTIKEL BERKAITAN: Selangor, KL kena PKPD selama 14 hari