KETIKA melihat sebahagian Gaza yang musnah akibat dibedil oleh tentera udara rejim Zionis dari tingkat 10 sebuah bangunan, seorang peguam hak-hak asasi manusia Palestin, Raji Sourani menyimpan sejumlah fail baharu.
Fail-fail itu adalah mengenai mangsa-mangsa jenayah perang Israel yang terbunuh dan cedera akibat serangan udara menerusi jet-jet pejuangnya ketika bertempur dengan para pejuang Hamas pada bulan Mei lalu.
Sejak bertahun-tahun lalu, Sourani telah berusaha mewujudkan kes-kes jenayah perang di Gaza tersebut sebelum mengemukakannya kepada Mahkamah Antarabangsa Jenayah (ICC) di The Hague, Belanda.
Peguam bela yang berusia 66 tahun dan dilahirkan di Gaza itu sebelum ini telah memfailkan kes-kes seumpama itu di mahkamah berkenaan sejak tahun 2015 dan beliau mewakili penduduk Palestin yang menjadi mangsa-mangsa jenayah perang rejim Zionis.
Sebelum ini ketua pendakwa raya ICC, Fatou Bensouda pada Mac lalu berkata bahawa pihaknya telah membuka satu siasatan penuh tentang jenayah perang di wilayah Palestin yang dijajah negara haram Israel iaitu Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan Genting Gaza.
Bagaimanapun, rejim Zionis menolak kewujudan ICC itu.
Sungguhpun begitu, Sourani dan pasukan pembelaannya melakukan sedaya upaya mereka bagi membuktikan bahawa negara haram Israel itu menyasarkan orang awam dengan sengaja dalam pertempuran antara rejim Zionis dengan pergerakan Islam Hamas.
Namun, tentera Israel menyalahkan Hamas kerana sengaja menjadikan kawasan yang didiami oleh ramai orang awam sebagai tempatnya untuk melakukan aktiviti-aktivitinya bagi menentang rejim Zionis.
Beliau kini menyimpan senarai-senarai kekejaman yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas penduduk Palestin di Gaza.
Senarai itu meliputi kepungan yang dilakukan oleh Israel ke atas Genting Gaza pada tahun 2007 sehingga kepada pengakuan mangsa-mangsa penduduk Palestin semasa Perang Gaza pada tahun 2014.
Penindasan rejim Zionis ke atas para peserta satu siri protes yang diadakan setiap hari Jumaat pada tahun 2018 hingga 2019 di sempadan Gaza bagi menuntut hak untuk kembali ke tanah air mereka yang telah dirampas oleh Israel juga berada dalam senarai pembelaaan pasukan Sourani.
Kini, peguam bela itu memasukkan pertempuran antara Israel dengan Hamas dalam senarai baharunya yang menuduh rejim Zionis melakukan jenayah perang.
Gambar-gambar bangunan dimusnahkan, senarai mangsa-mangsa serangan, laporan penggunaan misil tentera Israel dan peta-peta lokasi tentera rejim Zionis melakukan serangan bom telah berada dalam simpanan beliau.
Israel didakwa memiliki pasukan tentera yang kuat di Asia Barat dan pernah mencabar Iran, Hezbollah dan melakukan serangan bom di Syria.
Namun, dalam pertempuran selama 11 hari antara rejim Zionis dengan para pejuang Hamas dan Jihad Islam pada 10 hingga 21 Mei lalu, lebih 250 penduduk di Gaza terkorban termasuk kanak-kanak.
Serangan udara tentera rejim Zionis itu turut menyebabkan beberapa buah bangunan di Gaza yang didiami oleh dua juta penduduk musnah tetapi rejim Zionis menafikan menjadikan orang awam di wilayah jajahannya itu sebagai sasaran serangannya.
Bagaimanapun, Sourani berkata kepada AFP bahawa:"Perang adalah antara tentera dengan tentera. Orang awam perlu dielakkan (daripada menjadi mangsa peperangan).
Beliau juga menyenaraikan keluarga-keluarga yang terkorban akibat serangan udara tentera Israel.
"Adakah Hamas ialah (bangunan) Menara Shoruk, Menara Hanadi, Menara Jala?" soalnya dengan nada marah kepada AFP apabila beliau menyebut bangunan-bangunan yang musnah akibat serangan udara tentera rejim Zionis.
Israel menganggap bangunan-bangunan itu menempatkan kubu-kubu Hamas.
"Apakah kaitannya saluran paip air dengan Hamas? Apakah kaitannya dengan kemudahan elektrik, sistem kumbahan dengan Hamas?" soalnya lagi yang merujuk kepada kemudahan infranstruktur yang musnah akibat konflik selama 11 hari itu kepada AFP.
Dakwaan Israel melakukan jenayah perang di Gaza turut diperkuatkan lagi dengan kenyataan Ketua Majlis Hak-Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Michelle Bachelet ketika merasmikan sesi khas Majlis Hak-Hak Assai Manusia PBB di Geneva, Switzerland pada hujung bulan lalu.
Bachelet dilaporkan berkata, Israel mungkin melakukan jenayah perang di Gaza.
Beliau menyatakan tidak melihat bukti bahawa bangunan-bangunan awam yang menjadi sasaran serangan tentera udara Israel itu telah digunakan bagi tujuan ketenteraan.
Bachelet ketika itu berkata, Israel perlu menunjukkan bukti bahawa bangunan-bangunan tersebut digunakan oleh kumpulan-kumpulan bersenjata di Gaza. - Agensi