Hotel besar pun angkat bendera putih

Iklan
Hotel Istana Kuala Lumpur mengumumkan pemberhentian operasi pada 1 September ini.

RAMAI yang hilang kata-kata apabila sebuah lagi hotel lima bintang, Hotel Istana, Kuala Lumpur bakal ditutup September depan susulan impak pandemik Covid-19.

Hotel ikonik di Jalan Raja Chulan itu mempunyai 486 bilik dan sudah beroperasi selama hampir 30 tahun.

Iklan
Iklan

Hotel Istana meninggalkan banyak kenangan kepada ramai orang.

Selain bilik penginapan yang mewah, banyak acara penting diadakan di situ, daripada resepsi perkahwinan, majlis berbuka puasa, penggambaran filem sehinggalah Malam Wartawan Malaysia.

Iklan

Ia juga pernah digunakan sebagai hotel penginapan rasmi untuk pemain badminton bertaraf dunia seperti Lin Dan dari China apabila mereka menyertai Terbuka Malaysia.

Hotel ini juga dinilai ‘sangat baik’ oleh pengunjungnya dengan rating 8.2 dalam Trivago.com.

Iklan

Seimbas pandang, Hotel Istana sepatutnya dapat bertahan daripada badai Covid-19 kerana ia dimiliki oleh Tradewinds Corp Berhad iaitu antara pemilik dan pengendali hotel terbesar di Malaysia termasuk Hilton Petaling Jaya dan Hilton Kuching.

Namun begitu, Hotel Istana nampaknya terpaksa mengangkat bendera putih sekali gus menyertai 120 buah hotel yang sudah check out sama ada menutup operasi secara penuh atau sementara sejak Mac 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia, Yap Lip Seng baru-baru ini mendedahkan sekitar 20 buah hotel lagi ditutup tahun ini selepas 100 buah hotel menghentikan operasi tahun lalu akibat rugi besar.

Ia termasuk sebuah hotel lima bintang terkenal, Equatorial Pulau Pinang yang ditutup Februari lalu setelah tiga dekad beroperasi.

Kata Lip Seng, secara keseluruhan sektor perhotelan negara sudah mengalami kerugian lebih RM11.3 bilion.

Sungguhpun hotel mewah sering dikaitkan dengan golongan kayangan, ramai pekerjanya adalah rakyat biasa sama macam anak Mak Cik Kiah dan Pak Salleh.

Mereka ini bekerja sebagai penyambut tetamu, pelayan restoran, tukang masak atau tukang kemas bilik.

Apabila sebuah hotel gergasi lenyap, perniagaan di sekelilingnya juga menerima akibat. Pembekal barang mentah, dobi serta pemandu teksi dan e-hailing akan terkesan.

Itu belum lagi melibatkan pemandu pelancong sehingga ada yang terpaksa balik kampung untuk menjadi penoreh getah atau bekerja sebagai pencuci longkang.

Ternyata implikasinya besar, bukan setakat bernostalgia atau ‘melantakkan’ nasib syarikat besar pemilik hotel itu sahaja.

Dari perspektif yang lebih luas, semakin banyak perniagaan ditutup dan semakin ramai hilang pekerjaan di sebalik pelbagai pelan pemulihan kerajaan.

Kalau jenama besar seperti Hotel Istana boleh terjejas, apa pula nasib pengusaha chalet dan inap desa, peniaga kecil serta rakyat marhaen.

Fenomena ramai orang hilang sumber pendapatan adalah realiti di Malaysia sekarang.

Bantuan tunai RM10 bilion ketika rakyat susah sangat dialu-alukan. Tetapi kesannya cuma ibarat mencurah air ke tanah andai semakin ramai orang hilang kerja yang membawa kepada sengsara berpanjangan.

Kita tidak tahu berapa ramai atau berapa lama lagi musibah Covid-19 akan melanda. Apa yang merunsingkan, bukan mudah untuk membina semula perniagaan atau mendapatkan pekerjaan dalam situasi hari ini.

Bagaimana pula rakyat hendak membantu sesama rakyat kalau mereka sendiri terpaksa ikat perut dan makan seadanya, selain masak sendiri di rumah?

Ramai rakyat kini cuba bertahan selama boleh dengan wang simpanan yang ada.

Tetapi tidak lama lagi, kita mungkin akan lihat lebih banyak rumah mengibarkan bendera putih kerana penghuninya tiada makanan.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian