Jangan ‘asal mohon’ sahaja untuk jadi cikgu

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

BEBERAPA hari lagi, iklan pengambilan khas secara one-off melibatkan seramai 18,702 guru bagi gred DG41 akan dikeluarkan sebagaimana diumumkan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 20 Jun lalu.

Tentu ramai tidak sabar dan tertunggu-tunggu untuk mengambil bahagian dalam proses pengambilan tersebut. Apatah lagi, ia seperti memberi sinar dan harapan baharu kepada mereka yang berhasrat menyumbang bakti dalam sektor pendidikan.

Iklan
Iklan

Namun, kriteria calon guru yang akan dipilih masih menjadi tumpuan beberapa pihak, khususnya dalam bidang pendidikan susulan keputusan kerajaan untuk turut membuka permohonan kepada mereka di luar bidang tersebut, antaranya Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).

Presidennya, Aminuddin Awang meminta supaya langkah diambil KPM itu dilakukan bukan hanya untuk menyelesaikan isu graduan menganggur, sebaliknya memastikan individu terpilih itu berkualiti dan benar-benar mahu menjadi pendidik.

Iklan

Begitu juga, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang tidak mahu pengambilan secara besar-besaran itu sekadar menyelesaikan isu kekurangan guru tetapi tidak memberi impak diharapkan

Cuepacs turut meminta kerajaan melihat tiga aspek dalam pemilihan guru iaitu kualiti, kemahiran dan minat kerana aspek-aspek tersebut penting dalam menghadapi cabaran besar dunia perguruan ketika ini.

Iklan

Sama ada NUTP atau Cuepacs, kedua-duanya dilihat menekankan aspek seperti kualiti dan minat individu terhadap profesion guru dalam pengambilan baharu itu.

Aspek itu mungkin boleh ditekankan kementerian dalam pemilihan tersebut kerana mereka yang benar-benar mahu menjadi pendidik mungkin terpaksa bersaing dengan mereka yang sekadar mencuba nasib atau yang tidak pernah sama sekali berminat menjadi guru tetapi 'terpaksa' memohon kerana kesukaran mendapat pekerjaan dalam bidang masing-masing.

Beberapa hari lalu, Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Kebangsaan juga menolak cadangan melibatkan graduan bukan bidang pendidikan kecuali diberikan kursus terlebih dahulu dengan modul khas seperti Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan.

Pandangan beberapa pihak berkenaan ada asasnya kerana siswazah pendidikan sudah mempunyai latihan profesionalisme guru.

Memetik komentar Pensyarah Kanan di Fakulti Teknikal dan Vokasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Madya Dr Ridzwan Che’ Rus dalam sebuah akhbar tempatan, beliau berkata, graduan Ijazah Pendidikan universiti awam dilatih berdasarkan Objektif Pendidikan Program, Hasil Pembelajaran Program dan Hasil Pembelajaran Kursus berdasarkan Standard Pendidikan oleh Agensi Kelayakan Malaysia selama empat tahun. Selain itu, katanya, graduan pendidikan universiti awam sebenarnya menguasai segala aspek Pembelajaran Abad Ke-21, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), KSSM dan semua elemen dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) terkini.

Jika dilihat dari segi ilmu dan pengetahuan dimiliki graduan pendidikan, keadaannya sudah tertentu berbeza dengan siswazah lulu-san lain-lain bidang yang tidak terdedah dengan aspek tersebut.

Bagaimanapun, penulis percaya, keputusan kerajaan sudah tentu melalui perancangan teliti, disusuli persiapan rapi dalam merealisasikan hasrat kerajaan yang bukan sahaja memenuhi keperluan tenaga manusia dari segi jumlahnya tetapi juga mengutamakan aspek kualiti.

Seperti kata Mohd Radzi, pihaknya tetap mengutamakan graduan pendidikan, namun pendekatan baharu itu digunakan bertujuan mengatasi isu ketidakpadanan guru bagi mata pelajaran tertentu.

Apa pun, bagi yang berhasrat mengisi kekosongan guru, permohonan dibuat janganlah 'asal mohon’.

Buatlah dengan niat ikhlas bagi memastikan pendidikan terbaik demi anak bangsa kerana individu yang mahu menjadi guru juga memerlukan persediaan secukupnya disebabkan tanggungjawab besar perlu dipikul, bukan sekadar di bilik darjah tetapi juga berperanan memastikan lonjakan kualiti pendidikan negara ke peringkat global.

Akhir sekali, semoga anda membuat pilihan tepat dan selamat berjaya.

* W Saidatul Fadzilah W Najemudin ialah Web Editor portal Sinar Harian