TAPAH - Hilang punca pendapatan selepas diberhentikan kerja menjadikan sebuah keluarga di sini mengisi hari-hari mereka dengan makan nasi berlaukkan garam.
Hamidah Nagor Gany, 37, ibu tunggal kepada dua anak berusia 19 dan enam tahun berkata, rutin itu dilalui lebih setahun lalu apabila kebun sayur yang menjadi tempatnya mencari rezeki sejak enam tahun lalu ditutup disebabkan pandemik Covid-19.
Menurutnya, jika bernasib baik, ada ketikanya jiran tetangga menghulurkan lauk pauk untuk dijadikan hidangan mereka sekeluarga.
"Orang kampung di sini semua baik-baik, ada masa mereka bagi sayur untuk kita masak, jiran-jiran pun kalau masak lebih, mereka hantar lauk ke rumah.
"Tetapi dalam kebanyakan hari, hanya tinggal beras sahaja sebagai bekalan makanan di rumah, kami makan nasi campur garam sahaja, letak bawang dan cili goreng sikit...bagi kami itu pun dah sedap dan syukur kerana sekurang-kurangnya masih ada makanan," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Seri Bidor, Bidor di sini pada Khamis.
Hamidah berkata, hilang pekerjaan menjadikan dia kini hanya mampu bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan yang diterima daripada Baitulmal sebanyak RM350 dan pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) RM237.
Bagi mencari pendapatan sampingan, dia menanam sayur-sayuran seperti kacang panjang, bendi, jagung dan cili untuk dijual kepada penduduk kampung di tepi laman rumahnya dengan memperoleh jualan sekitar RM30.
Bagaimanapun katanya, wang itu diibaratkan cukup makan kerana masih perlu menanggung sewa rumah RM250 dan bayaran kepada syarikat pinjaman wang berlesen yang dibuat sebelum ini sebanyak RM200 sebulan.
"Barang kemas semua dah digadai dan bila sudah tidak ada pilihan, saya buat pinjaman dengan ah long pada Januari lalu.
"Duit itu saya gunakan untuk belanja keperluan rumah dan bayar kompaun polis RM500 yang dikenakan ke atas saya kerana kesalahan memakai pelitup muka yang koyak," katanya.
Hamidah berkata, ketika ini mereka tiga beranak banyak menumpang makan di rumah ibunya yang terletak berhampiran dan berkongsi bekalan makanan sebagai langkah penjimatan.
"Mak pun tinggal seorang diri, jadi mana-mana bantuan kotak makanan yang kami terima daripada Pejabat Daerah dan YB (Yang Berhormat) kami kongsi sama-sama," katanya.
Dia berkata, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebanyak RM500 yang diterima Rabu lalu telah digunakan untuk membayar sewa rumah yang telah tertunggak selama empat bulan selain bil elektrik dan air yang tertangguh beberapa bulan lalu.
Selain Pejabat Daerah dan wakil rakyat, keluarga ini turut menerima bantuan barangan keperluan makanan yang disumbangkan jawatankuasa masjid dan komuniti setempat.
Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Hamidah di talian 017-5702246 atau sumbangan ke akaun Maybank 158109241625 atas nama Hamidah Binti Nagor Gany.