KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM6.03 juta menerusi Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Covid-19 secara bersasar fasa ketiga bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, di bawah BPP fasa tiga itu, tumpuan diberikan kepada pelbagai golongan rakyat termasuk kumpulan penjaja yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurutnya, agihan kepada golongan tersebut akan diuruskan oleh PBT berkaitan manakala golongan nelayan yang berdaftar, operator kantin, pekerja kantin dan pekerja dewan makan asrama sekolah juga bakal menerima bantuan melalui BPP fasa ketiga ini.
"Bantuan kali ini merupakan tambahan kepada bantuan sama yang telah disalurkan menerusi Pusat-Pusat Khidmat Dewan Negeri bagi menampung keperluan golongan atau individu yang sangat terkesan dengan Covid-19,"katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Wan Rosdy berkata, bantuan itu akan dihulurkan dalam bentuk bakul makanan kepada mereka yang terlibat.
Tambahnya, melalui BPP fasa satu hingga tiga itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan kira-kira RM23.13 juta dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula sejak 12 Mei lalu.
"Keputusan menambahkan bantuan ini bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap masalah rakyat khususnya bagi golongan yang terkesan teruk dengan pandemik Covid-19 dan PKP.
"Walaupun bantuan ini dianggap kecil bagi sesetengah pihak namun kepada mereka yang benar-benar terkesan, ia tentunya sesuatu yang melegakan dan kerajaan negeri bersyukur dapat turut meringankan beban mereka," katanya.