‘Kecewa ahli politik tidak serius patuh SOP’

Iklan
Ir Khairil Nizam

SHAH ALAM – Ketua Pemuda Pas, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin meluahkan kekecewaannya apabila melihat masih ada pemimpin masyarakat khususnya ahli politik yang tidak serius mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, masih ada ahli politik yang melanggar SOP dan menipu secara terbuka di atas kesalahan yang dilakukan mereka.

Iklan
Iklan

"Bagi saya, ini adalah tindakan yang tidak beretika, contoh yang tidak baik dan tidak layak untuk menjadi pemimpin masyarakat.

"Bagaimana Pelan Pemulihan Negara boleh berjaya sekiranya pemimpin rakyat sendiri tidak patuh kepada SOP?,” soalnya menerusi satu tulisan di Facebooknya pada Khamis.

Iklan

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon pada Rabu memohon maaf atas tindakan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sebuah kebun durian di Batu Pahat pada Ahad lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:'Kenduri' durian: Ahli Parlimen mohon maaf, akui keliru

Iklan

Ahli Parlimen Batu Pahat itu dilaporan memohon maaf atas kekhilafan berkenaan dan menyerahkan siasatan lanjut serta berjanji untuk memberikan kerjasama kepada polis.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, ahli politik sepatutnya menghabiskan masa mereka membantu rakyat yang sedang tenat terkurung di dalam rumah berbulan lamanya dengan segala bentuk bantuan agar rakyat yang sedang menderita akibat PKP ini dapat meneruskan kehidupan.

Menurutnya, masyarakat di negara ini memerlukan ahli politik yang beretika, bertanggungjawab dan berdedikasi untuk bekerja bagi membantu rakyat.

"Bukannya menggunakan keistimewaan yang ada pada jawatan yang dipegang untuk kepentingan diri sendiri.

"Ini adalah teguran ikhlas saya kepada diri saya serta semua ahli politik khususnya kepada ahli politik daripada Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan PN mestilah menjadi lebih baik daripada kerajaan yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) yang lalu.

"Kita tidak mahu rakyat hilang kepercayaan kepada ahli politik sedangkan di luar sana masih ramai ahli politik yang beretika, bertanggungjawab dan dedikasi membantu rakyat.

"Sekiranya anda lelah untuk menjadi ahli politik, sila letak jawatan. Jawatan ini datang dengan amanah dan setiap daripada amanah yang kita pikul akan dipersoal di akhirat kelak,” ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenduri durian: Tiada siapa kebal, biar polis tentukan