KUALA LUMPUR - Malaysia tidak akan terjejas dengan fenomena cuaca panas yang sedang berlaku di Kanada dan barat laut Amerika Syarikat pada masa ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, berikutan itu rakyat Malaysia tidak perlu risau dengan cuaca panas dan gelombang haba yang sedang dialami oleh dua negara itu yang merekodkan suhu sehingga 47.9 dan 56.6 darjah Celsius.
Iklan
Iklan
"Malaysia kini berada pada pertengahan fasa Monsun Barat Daya yang dijangka berakhir pada September ini dan dalam tempoh itu negara akan mengalami suhu yang lebih rendah daripada biasa pada Julai kerana cuaca lebih lembap serta hujan lebih banyak berbanding biasa.
"Keadaan ini adalah disebabkan oleh peralihan daripada fasa La Nina kepada fasa El Nino Southern Oscillation (ENSO) Neutral dan dijangkakan negara juga mengalami taburan hujan normal mulai Ogos,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Sehubungan itu, katanya, tiada suhu luar biasa panas dijangka akan berlaku di Malaysia pada tahun ini selain tiada kejadian jerebu rentas sempadan yang serius berlaku dalam tempoh terdekat ini.
Jailan turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan perubahan cuaca serta mendapatkan maklumat dan amaran cuaca terkini melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial dan talian hotline MetMalaysia bagi sebarang pertanyaan lanjut. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: 486 meninggal dunia ketika suhu panas di British Columbia